Presiden UMNO Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan pada
sidang media selepas perjumpaan dengan pemimpin bahagian dan sayap parti itu di
ibu negara hari ini (4 Oktober 2022).
UMNO mengulangi pendirian
terhadap syarat yang dikenakan kepada PAS sekiranya ingin bekerjasama, namun
bersedia bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya parti
Islam itu enggan meninggalkan Perikatan Nasional (PN).
Serentak
itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta PAS menyatakan
pendirian berhubung perkara berkenaan dengan secepat mungkin.
Zahid
mengesahkan beliau bertemu dengan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan
berbincang mengenai beberapa perkara dasar, sebelum membentangkannya kepada
biro politik dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
“Keputusan
MT ialah mengabsahkan jika PAS mahu bersama-sama dengan kita (UMNO) setelah
memenuhi syarat-syarat yang telah kita tetapkan.
“Tanpa memenuhi
syarat-syarat itu maka kami (UMNO) akan bergerak secara solo. Bukan kami
terlalu yakin tetapi kami yakin bahawa selepas mereka tentukan, kita mesti
bergerak mengikut kaedah-kaedah peperangan bagi menghadapi pilihan raya. Secara
tersendiri.
“Tetapi jika mereka
mahu bersama-sama dengan UMNO dan BN (Barisan Nasional) mereka bebas untuk
menggunakan lambang parti mereka, tetapi kita boleh bertoleransi untuk menjalin
kebersamaan jentera bagi menghadapi pilihan raya,” katanya pada sidang media
yang disiarkan secara langsung selepas perjumpaan dengan pemimpin UMNO bahagian
dan sayap parti di Menara dato Onn hari ini (4 Oktober 2022).
Pada 2 Oktober lalu,
Zahid berkata UMNO meletakkan tiga syarat kepada PAS dalam memperkukuh
kerjasama rasmi antara dua parti itu bagi menghadapi PRU-15.
Tiga syarat berkenaan
ialah:
- PAS perlu keluar daripada
gabungan Perikatan Nasional (PN);
- Memutuskan hubungan politik
dengan Bersatu; dan
- Mengisytiharkan secara rasmi
‘mufaraqah’ berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.
Zahid berkata syarat
itu telah disampaikan kepada Abdul Hadi dalam pertemuan baru-baru ini.
Pada sidang media
sama, Pengerusi BN itu berkata beliau telah dimaklumkan bahawa Gabungan Rakyat
Sabah (GRS) memberi jaminan akan menyokong semua calon-calon BN di negeri itu.
“Kami menghargainya
dan semoga perkara ini dapat direalisasikan dalam makna yang sebenar apabila
tiba masanya,” katanya.
Untuk rekod, GRS
adalah gabungan yang dianggotai Bersatu, PBS, SAPP, STAR, dan USNO.
Bersatu, STAR dan SAPP
pula adalah anggota gabungan PN. Ketua Menteri Sabah sekarang adalah Datuk Seri
Hajiji Noor daripada Bersatu.
Sementara itu, Zahid
yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata BN akan membuat keputusan berhubung
permohonan beberapa parti baharu untuk menjadi anggota komponennya.
Beliau juga berkata
Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak selepas mendapat mandat dari Jemaah
Menteri bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi penentuan tarikh pembubaran
Parlimen.
Spekulasi bahawa
PRU-15 akan diadakan tahun ini mendapat momentum berikutan pengesahan Perdana
Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa beliau akan menghadap Yang
di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada
Khamis, 6 Oktober 2022.