Bubar Parlimen pada Jumaat? Mahfuz ucap selamat membubar kepada PM


 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih menunggu masa sesuai untuk membubarkan Parlimen.

Pembubaran Parlimen mungkin berlaku pada Jumaat ini, dakwa Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah itu meramalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan terpaksa mengikut cakap kawan-kawan perompaknya untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

“Kesian kat YAB PM (yang amat berhormat Perdana Menteri).

“Demi nak jaga hati kawan-kawan perompak Jumaat ini dah nak kena bubar juga parlimen,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

 

Kenyataan Mahfuz itu dibuat ketika spekulasi semakin bertiup kencang Ismail Sabri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong seperti diarahkan partinya untuk mencadangkan pembubaran Parlimen.

Jika dakwaan Mahfuz tersebut menjadi kenyataan, ia bermakna Ismail Sabri tidak sempat membentang Bajet 2023 yang sepatutnya dijadualkan pada 7 Oktober ini hari sama didakwa bakal berlaku pembubaran.

“Tak apalah YAB, bubar pun bubarlah, asal ada ketentuan.

“Duk dingdong dingdong pasal PRU-15 ini menyusahkan rakyat saja.

“Selamat membubar,” sindirnya lagi.

Pembangkang sebelum ini melahirkan kebimbangan sekiranya PRU-15 diadakan semasa musim tengkujuh bakal menyebabkan rakyat yang sedang mengalami kesusahan kehilangan harta benda akan lebih tertekan.

Bagaimanapun, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata sedia meredah banjir sekalipun PRU-15 diadakan pada hujung tahun ini bagi memastikan kemenangan UMNO-Barisan Nasional nanti.