UMNO akhirnya membuat keputusan yang dikira muktamad dalam hubungannya dengan Pas iaitu tiada kerjasama sebelum dan juga selepas PRU15.
Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan parti ‘lebai’, untuk apa jua bentuk kerjasama selepas PRU15 akan datang nanti.
Katanya, parti berkenaan adalah sebuah parti yang tiada pendirian tetap.
“Kita jangan pedulikan pak lebai bersama kita (BN) atau tidak, pak lebai petang cakap lain, malam cakap lain,” katanya dalam suatu program di Kedah semalam.
Ahmad Zahid seterusnya berkata, BN mahu kawan yang setia dan istiqamah, selain yang sedia bersama dalam keadaan susah dan senang.
“Jangan runding lepas pilihan raya, kita bukan riak, sombong, takut atau pengecut.
“Rakyat sudah sedar dan akan beri kepercayaan semula kepada BN.
“Ketika itu apabila kita berjaya bentuk kerajaan, baru ada orang terhegeh-hegeh hendak jumpa kita, kita akan cakap cukup sampai di sini dan semua sudah terlambat,” tegasnya lagi.
Berdasarkan rentetan kelakuan tiada pendirian dan berbolak-balik yang ditunjukkan Pas dalam hubungannya dengan UMNO sejak 2018 lalu, keputusan BN seperti yang diumumkan Zahid Hamidi itu adalah paling wajar dan sangat tepat.
Sebelum ini, UMNO telah memutuskan untuk bertanding solo, walaupun di saat-saat akhir kemudiannya Hadi Awang telah mencari Ahmad Zahid dan mereka bertemu di kediamannya di Kajang untuk merundingkan kemungkinan untuk bekerjasama.
Berikutan Ahmad Zahid memberi tiga syarat untuk bekerjasama iaitu Pas mesti memutuskan hubungan dengan Bersatu, keluar daripada PN dengan segera dan membuat pengumuman rasmi pendirian terbaru itu, Hadi lantas menyerang UMNO sebagai parti yang keruh dan seumpama durian mentah.
Tidak lama sebelum ini, ketika tengah seronok bersama PN dan Mahiaddin Md Yasin pun ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri, Hadi juga pernah melabelkan UMNO sebagai “itik patah kaki”.
Begitu pun, sementara Pas kekal lebih condong untuk kekal bersama Bersatu dan PN, parti itu tidak putus-putus mengumumkan pendirian ingin berbaik serta bekerjasama dengan UMNO ata nama perpaduan ummah kononnya.
Tetapi, Pas tidak sanggup membuat ketetapan salah satu antara UMNO dan Bersatu sebagai pilihan lantaran ingin berkubang dalam dua kolam dalam satu masa bagi menjamin kelangsungan dapat berseronok dengan jawatan serta habuan dunia sebagaimana yang dinikmati sekarang ini.
Dengan pendirian BN sekarang ini iaitu tidak bekerjasama sebelum dan juga selepas pilihan raya dengan Pas, nampaknya makin gelaplah masa depan parti itu.
Berdasarkan situati semasa, hanya dua parti paling berkemungkinan menjadi kerajaan selepas PRU15 nanti – BN atau pun PH.
Dengan PH, bukan saja Pas sudah menyatakan pendirian menolak gabungan itu, bahkan PH pun tidak teringin untuk bersama dengan mereka.
Maknanya sekarang ini, baik BN atau PH yang bakal memenangi pilihan raya, Pas sudah tiada tempat lagi untuk dibawa bersama dalam pentadbiran kerajaan, termasuk untuk diberi jawatan duta makan gaji buta.
Daripada satu segi, apa yang ditegaskan oleh Ahmad Zahid itu adalah pendirian terbaik oleh BN dalam mengajar Pas erti kesetiaan dan bersetiakawan.
Selagi begitu perangai Pas, eloklah parti itu diketepikan oleh sesiapa saja yang menjadi kerajaan.
Biarkan mereka kembali ke pentas ceramah, memaki hamun semua orang dan kemudian menadah tin milo untuk meminta sumbangan. – ShahbudinHusin 20/10/2022.