Calon PM tak boleh takut debat, rakyat nak nilai kualiti






Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan debat diadakan dalam kalangan calon Perdana Menteri, tetapi 'poster boy' Barisan Nasional Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolaknya dengan alasan "debat bukan budaya kita".

 

Calon Perdana Menteri (PM) sepatutnya berani menghadapi sebarang cabaran, termasuk tidak takut berdebat dengan mana-mana pihak, bagi menjelaskan polisi dan hala tuju negara.

Malah, dalam keadaan di mana rakyat akan membuat pilihan siapa yang sewajarnya menjadi PM mereka, perdebatan itu adalah penting untuk menunjukkan kredibiliti.

Sehubungan itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) membidas kenyataan ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menolak perdebatan dengan pemimpin lain yang dicalon sebagai PM Malaysia kesepuluh dengan alasan “bukan budaya kita”.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO sebelum ini, menerima pencalonan 100 peratus daripada UMNO bahagian sebagai PM sekiranya UMNO dan BN menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.

Mempersoalkan bila pula debat tidak menjadi budaya Malaysia, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi contoh debat pernah dilakukan antara Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sejak bila pulak debat bukan budaya kita? Bossmu (Najib) pun dah berdebat dengan Anwar bulan Mei lepas.

“Bagilah peluang kepada rakyat Malaysia nak nilai calon PM kita. Inilah cara politik sihat dengan berlawan hujah dengan fakta dan data.

“Kita kalau nak beli barang pun tengok kualiti. Jangan nanti barang order, barang sampai lain,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini mengulas alasan Ismail Sabri yang menolak debat dalam kalangan calon PM.

Pada 20 Oktober, Anwar mencadangkan calon PM daripada tiga gabungan utama yang bertembung dalam PRU-15 perlu berdebat antara satu sama lain sebelum hari pengundian.

Pengerusi PH itu berkata debat berkenaan harus tertumpu kepada perkara berkaitan dasar dan tidak menghina serta mengetengahkan isu yang menjadi tumpuan dalam kempen pilihan raya mereka.

Bagaimanapun, Ismail Sabri hari ini (Selasa, 25 Oktober 2022) menolak cadangan itu dengan mendakwa Malaysia tidak mempunyai “budaya” melihat calon PM berdebat secara terbuka.

Perdana menteri sementara daripada BN itu mendakwa Anwar akan menjanjikan “bulan dan bintang” dalam debat, tatkala beliau sibuk menjalankan kempen pilihan rayanya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata sebagai pemimpin seseorang itu perlu berani menjawab persoalan dibangkitkan sama ada pihak lawan atau rakyat sendiri.

“Pemimpin kena tunjuk pelan dasar dan polisi untuk hala tuju negara. Kena tunjuk pemimpin yang bakal memimpin Malaysia ada kredibiliti.

“Tunjuk kepada rakyat yang bakal PM kita ini berani ambil sebarang cabaran. Barulah rakyat confident (yakin) nak mengundi calon mana nanti,” katanya.