Saya baru mendengar video jawapan balas UAI tentang isu masuk
neraka makan darah ikan. Terkejut saya dengan bahasa beliau yang sangat kesat.
Antara bahasa yang beliau guna:
1. Menyebut 2-3 ekor untuk merujuk kepada ustaz yang beliau
tidak setuju.
2. Menuduh orang lain tidak beriman dengan al-Quran.
3. Melabelkan orang bodoh 7 keturunan.
4. Melabel orang lain sebagai penipu besar.
Saya akan jawab video UAI ini. Cuma saya ingatkan kepada UAI
dalam mazhab Syafie sendiri ada khilaf dalam isu ini. Sepatutnya kita berlapang
dada bukannya membodohkan orang sehingga 7 keturunan.
Satu lagi UAI, perbezaan kita bukan pada menghukum haram sesuatu
perkara. Jika UAI nak hukum haram darah itu silakan. Perbezaan kita ialah
menerakakan orang yang melakukannya. Pendosa yang melakukan perkara haram
berdosa. Tetapi adakah dia terus automatik ke neraka dengan dosanya? Itu semua
dengan ketentuan Allah. Ibn Jarir al-Tabari (meninggal 310 Hijrah) menjelaskan:
وقد أبانت هذه الآية أنّ كل صاحب كبيرة ففي مشيئة الله ، إن شاء
عفا عنه ، وإن شاء عاقبه عليه ، ما لم تكن كبيرة شركًا بالله "
Maksudnya: Ayat (al-Quran) ini menjelaskan semua bahawa semua
pelaku dosa di bawah ketentuan Allah. Jika Allah mahu Dia boleh AMPUNKANNYA
selagi mana dosa besar itu bukan syirik kepada Allah. (Tafsir al-Tabari, jil.
7, hal 122)
Saya senada dengan UAI yang berpegang bahawa melakukan perkara
haram itu berdosa. Namun saya berbeza dengan UAI untuk menerakakan orang atas
dosa kerana itu adalah urusan Allah.
Jika benar buat benda haram terus kita boleh hukum pelakunya
dengan neraka terus walaupun dalam isu khilafiyyah, adakah UAI telah boleh
dihukum masuk neraka? Ini kerana dalam salah satu ceramah UAI ada membaca
mafhum hadis palsu tentang cerai/talak boleh gegar Arasy. Hadis ini dihukum
palsu oleh al-Saghani, al-Syaukani dan Ibn al-Jauzi. Syeikh Ahmad al-Ghumari
juga mengatakan dalam sanadnya terdapat pemalsu hadis (al-Mudawi, jil 3, hal.
269). Bukankah dalam hadis menyebutkan sesiapa berdusta atas nama Nabi
sallallah alaih wasallam maka persiapkan tempat duduknya di neraka?
Sekarang saya nak tahu, boleh atau tidak kita hukum UAI ahli
neraka kerana kesilapan beliau membaca mafhum palsu menurut sebahagian ulama
hadis? Saya tidak setuju untuk kita hukumkan begitu kerana itu semua urusan
Allah. Namun kesilapan beliau harus ditegur. Adakah boleh dikatakan 7 keturunan
beliau bodoh kerana menukilkan mafhum hadis palsu ini? Saya katakan tidak ada
kaitan antara isu peribadi beliau dengan 7 keturunan beliau.
Sekian jawapan ringkas saya. Ada masa nanti saya jawab secara
terperinci in sya Allah. Doakan keluarga saya segera sembuh. Kami sedang diuji
oleh Allah.
Dr Rozaimi Ramle