Pengerusi Pakatan Harapan
Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan debat diadakan dalam kalangan calon
Perdana Menteri, tetapi 'poster boy' Barisan Nasional Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob menolaknya dengan alasan "debat bukan budaya kita".
Calon Perdana Menteri (PM)
sepatutnya berani menghadapi sebarang cabaran, termasuk tidak takut berdebat
dengan mana-mana pihak, bagi menjelaskan polisi dan hala tuju negara.
Malah,
dalam keadaan di mana rakyat akan membuat pilihan siapa yang sewajarnya menjadi
PM mereka, perdebatan itu adalah penting untuk menunjukkan kredibiliti.
Sehubungan
itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) membidas kenyataan ‘poster boy’
Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menolak perdebatan
dengan pemimpin lain yang dicalon sebagai PM Malaysia kesepuluh dengan alasan
“bukan budaya kita”.
Ismail
Sabri yang juga Naib Presiden UMNO sebelum ini, menerima pencalonan 100 peratus
daripada UMNO bahagian sebagai PM sekiranya UMNO dan BN menang pada Pilihan
Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.
Mempersoalkan bila pula debat
tidak menjadi budaya Malaysia, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
memberi contoh debat pernah dilakukan antara Datuk Seri Najib Razak dan
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sejak
bila pulak debat bukan budaya kita? Bossmu (Najib) pun dah berdebat dengan
Anwar bulan Mei lepas.
“Bagilah
peluang kepada rakyat Malaysia nak nilai calon PM kita. Inilah cara politik
sihat dengan berlawan hujah dengan fakta dan data.
“Kita
kalau nak beli barang pun tengok kualiti. Jangan nanti barang order, barang
sampai lain,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini mengulas
alasan Ismail Sabri yang menolak debat dalam kalangan calon PM.
Pada
20 Oktober, Anwar mencadangkan calon PM daripada tiga gabungan utama yang
bertembung dalam PRU-15 perlu berdebat antara satu sama lain sebelum hari
pengundian.
Pengerusi
PH itu berkata debat berkenaan harus tertumpu kepada perkara berkaitan dasar
dan tidak menghina serta mengetengahkan isu yang menjadi tumpuan dalam kempen
pilihan raya mereka.
Bagaimanapun,
Ismail Sabri hari ini (Selasa, 25 Oktober 2022) menolak cadangan itu dengan
mendakwa Malaysia tidak mempunyai “budaya” melihat calon PM berdebat secara
terbuka.
Perdana
menteri sementara daripada BN itu mendakwa Anwar akan menjanjikan “bulan dan
bintang” dalam debat, tatkala beliau sibuk menjalankan kempen pilihan rayanya.
Mengulas
lanjut, Syed Saddiq berkata sebagai pemimpin seseorang itu perlu berani
menjawab persoalan dibangkitkan sama ada pihak lawan atau rakyat sendiri.
“Pemimpin
kena tunjuk pelan dasar dan polisi untuk hala tuju negara. Kena tunjuk pemimpin
yang bakal memimpin Malaysia ada kredibiliti.
“Tunjuk
kepada rakyat yang bakal PM kita ini berani ambil sebarang cabaran. Barulah
rakyat confident (yakin) nak mengundi calon mana nanti,” katanya.