Kenaikan harga barang yang melampau hari ini menyebabkan golongan B40 amat terdesak meneruskan hidup.
Bagaimanapun, kata Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, malangnya kerajaan BN - PN tidak begitu mengambil berat nasib golongan tersebut biar pun mereka menghabiskan 70% daripada gaji hanya untuk membeli barang makanan.
"Jabatan Perangkaan buat kajian, B40 guna 70% pendapatan mereka untuk beli makanan. Gaji ditolak bayar rumah, bayar bil ulititi, sebahagian besar duit diguna beli makanan. Lagi miskin rakyat, lagi banyak duit untuk beli makanan.
"Saya yakin penuh kita mampu tolong (jika jadi kerajaan) berdasarkan pengalaman 22 bulan memerintah. Mesti ada pertolongan jangka pendek dan jangka panjang buat golongan B40 ini.
"Beberapa tahun lalu saya dijemput ke Turki. Di kawasan perumahan saya dapati treler panjang. Di situ ada tepung, gula, minyak masak, barangan keperluan harian rakyat diletak di kawasan flat pendapatan rendah dan rakyat diberi kad diskaun untuk beli barang.
"Di negara ini kita juga boleh buat. Di mana yang susahnya? Kita ada data. B40 ada 10 juta, dulu saya Menteri jaga B40, nama alamat, nombor telefon kita ada.
"Kita juga akan kekalkan bantuan tunai kepada rakyat dalam jangka pendek andaikata diberi peluang kepada kita perintah (sekali lagi)," kata Saifuddin dalam Ceramah Keadilan Rakyat di Kampung Sungai Semilang, Juru, Pulau Pinang, malam tadi.
Selain itu, kata Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, terdapat juga golongan B40 yang tak cukup pendapatan dan harus meminjam wang. Juga golongan yang kena keluarkan simpanan termasuk dalam akaun KWSP. Katanya, 60% rakyat Malaysia bila diberi peluang keluar wang KWSP telah pun mengeluarkan wang mereka.
Oleh itu, beliau mahu rakyat berfikiran rasional untuk memilih kerajaan yang berwibawa dalam Pilihan Raya Umum ke 15 ini.
Katanya, parti yang dipilih perlulah yang benar benar mempunyai idea membela rakyat bukan seperti Umno atau Pas yang memainkan isu perkauman atau keagamaan sempit.
"Dalam suasana rakyat macam ini bolehkah kita bagi sokongan kepada parti yang ceritanya pemimpin PH tidak beriman? Tolonglah beri cadangan macam mana nak selesai beban hidup rakyat. Kamu masih nak main sentimen agama dan perkauman?
"Mari kita berlumba dari segi idea macam mana nak selesai masalah, bantu rakyat.
"Parti apa macam ini? Rakyat tidak cukup makan, negara terpalit dengan rasuah, dia dok nak kafirkan orang. Parti macam ini kalau masuk PRU, tuan tuan cuma ada satu pilihan, tolak jangan bagi peluang," katanya.
Tegas beliau lagi, Melayu Pulau Pinang perlu menolak dakyah Pas yang tidak mengajarkan Islam sebenar kepada orang Melayu. Katanya Islam mengajarkan pemimpin harus adil dan menjaga rakyat sebaik baiknya bukan dipersoalkan beriman atau tidak.
"Pemimpin muslim, adil kepada rakyat, rakyat seluruh negara akan tengok Islam itu indah. Rupanya Islam ajar bila dapat kuasa semua akan rasa keadilan Islam.
"Kalau dia pemimpin bulan Islam pula, dia adil, rakyat mendapat manfaat. Itu sikap yang betul dalam perbezaan agama. Soal dia agama apa, itu urusan dia dengan pencipta.
"Saya tolak hujah pemimpin Islam yang rasuah lebih baik daripada pemimpin bukan Islam yang adil. Itu hijack kepada kefahaman Islam yang sebenar.
"Konon, pemimpin Islam yang korup dia boleh bertaubat, tetapi ingat korup itu adalah zalim terhadap manusia. Dia boleh bertaubat kepada Allah tetapi zalim dengan manusia dia kena minta maaf setiap seorang. Taubat tak akan diterima kalau kezaliman dengan rakyat tak minta maaf," kata Saifuddin lagi.