Nyawa politik Dr Afif di hujung tanduk?
Percubaan pemimpin Bersatu, Dr Afif Bahardin menyerang KEADILAN sejak kebelakangan ini menimbulkan persoalan apakah beliau mahu mendapat perhatian selepas bintang politiknya malap sebaik sahaja meninggalkan parti lamanya pada 2020.
Menurut Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Shah Alam, Najwan Halimi, serangan ke atas tokoh bersar Pakatan Harapan (PH) terutama pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin dilakukan untuk menarik perhatian pemimpin Bersatu ke atas dirinya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
“Dendam Afif dan juak pengkhianat yang lain makin jelas, dan beberapa kelancangan beliau akhir-akhir ini menunjukkan wajah beliau yang sangat terdesak untuk mendapat perhatian. Barangkali Afif berharap, dengan perhatian itu maka dia akan diberikan kerusi bertanding dalam PRU.
“Sikap menjengkelkan Afif itu juga seolah-olah membayangkan beliau sendiri sedar dirinya tidak lagi selamat di dalam parti baharunya. Khabarnya, beliau sendiri tidak pasti sama ada akan diberikan kerusi di Selangor atau Pulau Pinang.
“Kepimpinan dan orang lama dalam Bersatu belum tentu percaya kepadanya. Sebagai manusia, kepimpinan Bersatu juga bimbang Afif akan mengkhianati mereka, kerana sekali menjadi pengkhianat, maka selamanya akan dibimbangi mengkhianat lagi,” kata Najwan dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, ADUN Kota Anggerik itu menempelak Afif kerana dalam percubaanya menyamakan Anwar dengan Mao Zedong, pemimpin komunis China tatkala undang-undang anti lompat parti diluluskan Parlimen baru-baru ini
Katanya, cubaan itu menunjukkan Afif hanya berdalih, menutup pekung sendiri serta hendak mengelirukan rakyat antara kebebasan berpersatuan dengan perbuatan khianat.
“Hakikatnya sesiapa pun boleh berpindah parti, tetapi kesannya mereka harus memulangkan semula kuasa kepada rakyat agar pilihan raya baharu dapat diadakan semula.
“Kuasa rakyat inilah yang sangat ditakuti juak Azmin yang selalu mahu mengatur politik dalam kabur dan jijik,” katanya lagi.
Tegas Najwan, pada persepsi orang Melayu pengkhianat seumpama Afif dan juak Azmin yang lainnya sama sahaja dengan nilai perompak dan penyamun.