TAK PERLU GERAKAN BELA MELAYU, TUN M TAK BELA MELAYU
Tak perlu gerakan bela Melayu, Tun M tak bela Melayu
Pakatan Harapan (PH) tidak gentar dengan penubuhan persekutuan parti parti Melayu dalam Gerakan Tanah Air (GTA) yang mengumumkan akan bertanding sekurang kurangnya 120 kerusi parlimen.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, GTA bukanlah solusi untuk masalah Melayu kerana pemimpin utamanya Tun Mahathir Mohamad pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan, dan tidak kelihatan usaha serius untuk membantu Melayu ketika itu.
“Saya tidak mendukung inisiatif seperti itu (GTA) kerana kalau nak bela Melayu Islam ada 22 bulan patut dah tolong. Tetapi Melayu yang dipilih itu tidak mewakili sentimen Melayu.
“Saya fikir orang Melayu sekarang patut sedar masalah dalam negara ini adalah pimpinan Melayu atau bukan Melayu yang rasuah, yang memperkayakan anak anak dan keluarga mereka, dan kemudian bila terdesak rayu untuk mendapat dukungan orang Melayu atau kaum masing masing. Termasuk parti Cina ke, India sama.
“Bagi saya apa dia isu pokok? Pengurusan kerajaan yang baik, apa dia? Memilih pemimpin yang tidak merompak dan mencuri kekayaan,” katanya kepada media selepas sidang media di Parlimen petang semalam.
Bagi Anwar, isu paling utama untuk memajukan Melayu adalah memastikan dibanterasnya sistem kronisme dan nepotisme yang menyebabkan Melayu tertentu diberi kekuasaan dan kekayaan.
Beliau menyarakan semua pemimpin Melayu yang dicurigai disiasat kekayaannya dan sekiranya melakukan kronisme maka berundur untuk diganti dengan pemimpin yang lebih bersih
“Boleh siasat semua. Sebab itu saya di Parlimen 10 tahun lalu saya sebut siasat semua. Siasat Anwar, siasat semua yang lain. Siapa yang diketahui merompak kekayaan negara, memperkaya anak pinak, keluarga dedahkan, dan mereka harus berundur,” katanya.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Port Dickson itu beranggapan penubuhan GTA adalah hak politik masing masing parti menuju Pilihan Raya Umum ke 15.
Namun orang Melayu, katanya, perlu tahu masalah sebenar yang menghantui mereka dan jangan silap membuat pilihan.
“Itu hak masing masing nak tubuh, saya tidak setuju tetapi saya tidak fikir akan melemahkan kalau ada elemen yang sedar di kalangan Melayu
“Orang Melayu yang tahu kedudukan mereka terhimpit, tanah dirampas, yang miskin jangan harap kepada orang yang sama tidak memberikan pembelaan sewajarnya.
“Patut beri ruang kepada satu pendekatan rakyat Malaysia yang bangkit. Orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan bangkit menyelamatkan negara ini,” katanya lagi.