SIASAT HAKIM TINDAKAN TIDAK BERPERLEMBAGAAN, SPRM PERLU LIHAT DIRI KPNYA LEBIH DULU

 

Saya Hassan Abdul Karim seorang ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memantau SPRM berasa kesal terhadap campurtangan SPRM menganggu kebebasan badan Kehakiman dengan tindakan SPRM melakukan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Yang Arif Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah bertanggungjawab untuk sama-sama mempertahankan kebebasan badan kehakiman Malaysia.

Hakim-hakim Mahkamah di Malaysia mesti dilindungi dari tindakan sewenang-wenang pihak Eksekutif bagi membolehkan mereka menjalankan fungsi kehakiman tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Apa yang dilakukan oleh SPRM sekarang terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, seorang hakim Mahkamah Rayuan Malaysia bukan sahaja satu pelanggaran prinsip pemisahaan kuasa antara badan eksekutif dan juga badan kehakiman, tetapi ia juga merupakan satu serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.

Tidak dinafikan di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, hakim-hakim yang sedang berkhidmat boleh dilucutkan jawatannya jika berlaku salah laku, termasuk kesalahan bersifat jenayah seperti rasuah.

Tetapi ada kaedahnya yang khusus di mana tindakan sedemikian boleh dilakukan iaitu melalui sebuah Tribunal Bebas yang dibentuk oleh Kerajaan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kes Tribunal Bebas yang berkaitan pemecatan Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara adalah satu contoh.

SPRM perlu menyedari bahawa Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia atas lantikan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri.

SPRM tidak boleh perlakukan sesuka hati ke atas seorang Hakim Mahkamah hanya berdasarkan wujudnya satu laporan rasmi polis dilakukan ke atas hakim tersebut.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan kaedah bagaimana seorang hakim boleh dibicarakan dan dilucutkan jawatannya.

Sekiranya tindakan SPRM sekarang menyiasat hakim dengan sesuka hati berterusan maka akan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan hakim-hakim untuk melaksanakan peranan dan tugas mereka di mahkamah.

Perlu difahami sekarang telah wujud persepsi bahawa tindakan ke atas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ini ada kaitannya dengan keputusan Hakim tersebut ke atas kes pertuduhan terhadap mantan Perdana Menteri Najib Razak dalam Kes SRC International di mana Hakim Nazlan telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda lebih RM210 juta terhadap Najib Razak.

SPRM sewajarnya tidak terlibat dengan usaha balas dendam pihak-pihak tertentu terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

SPRM peru sedar bahawa terdapat usaha yang konsistent pihak tertentu yang tindak-tanduk mereka boleh dianggap sebagai serangan terhadap kebebasaan kehakiman apabila terdapat cubaan dilakukan untuk mencemarkan integriti hakim yang membicarakan kes Najib Razak dengan tujuan keputusan kes SRC International itu dibatalkan dan satu perbicaraan semula diadakan.

Perlu diingatkan bahawa keputusan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam Kes SRC International yang mensabitkan kesalahan Najib Razak telah disahkan oleh sebuah panel tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan.

Kepada SPRM, saya menyeru supaya memandang kepada diri SPRM sendiri. Beberapa laporaan polis secara rasmi telah dibuat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam baki berkait isu pembelian saham yang mencurigakan yang menimbulkan kemungkinan berlaku satu kesalahan di bawah Akta SPRM.

Saya berasa kesal sehingga ke hari ini, tidak ada siasatan dilakukan ke atas Tan Sri Azam Baki. Malah cadangan dari JKMR yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim agar Tan Sri Azam Baki direhatkan dengan bercuti supaya satu siasatan bebas dapat dilakukan langsung tidak dihiraukan oleh SPRM.

.

SPRM perlu sedar bahawa tugas JKMR di mana saya salah seorang anggota Jawatankuasa tersebut adalah untuk memantau perjalanan SPRM. Malahan dibawah Seksyen 14 Akta SPRM dinyatakan dengan jelas bahawa JKMR bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri dalam segala hal tentang rasuah di Malaysia ini.

Maka atas tanggungjawab inilah saya membuat pernyataan ini untuk menasihati SPRM supaya menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan amanah dan mengikut peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Merangkap Ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM

24 April 2022