Hati-hati halalkan penanaman ketum, hem, kata Ayob Khan

Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kerajaan membelanjakan RM45 seorang setiap hari untuk 36,000 banduan di pusat pemulihan dadah di seluruh negara.

KUALA LUMPUR: Beberapa faktor perlu dikaji sebelum memutuskan untuk menghalalkan penanaman hem dan ketum bagi tujuan perubatan, termasuk kos merawat penagih, kata Bukit Aman hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotiknya, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebagai contoh, kerajaan membelanjakan lebih RM500 juta setahun untuk 36,000 penagih dadah di bawah jagaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Ada pihak menganggap menanam pokok ketum boleh meraih keuntungan RM180 juta setahun.

“Namun, kita perlu juga meneliti dan mempertimbangkan kos-kos lain, selain keuntungan yang disasarkan daripada ketum.

“Bayangkan di negara kita terdapat 130,000 penagih dadah dan sekitar 36,000 orang daripadanya sedang menjalani program rehabilitasi di AADK.

“Kos purata yang dibelanjakan untuk seorang penagih adalah RM45 dan untuk setahun ia mencecah lebih RM500 juta,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Ayob Khan berkata, kerajaan perlu meminda undang-undang tertentu seperti Akta Racun 1952 dan Kanun Tanah Negara untuk membolehkan dadah ini dihalalkan.

“Ada negeri yang tidak membenarkan penanaman ketum, manakala ada yang membenarkannya. Penanaman pokok ketum tidak salah, tetapi memetik, memproses, menjual dan menggunakannya adalah salah di sisi undang-undang.

“Lagipun isu tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, yang mana ia memerlukan pindaan undang-undang tanah negeri masing-masing,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin berkata, Kabinet tiada halangan untuk membenarkan penanaman ketum dan hem bagi tujuan perubatan.

Tetapi, katanya, Kabinet meminta pihaknya berbincang dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung cara meluluskan tanaman itu.

“Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik dan cerah, terutamanya kepada mereka yang terlibat dalam bidang perubatan. Sekali lagi saya ingin ingatkan ini bukan lulus untuk minum air ketum, sebaliknya untuk tujuan perubatan.

“Masyarakat jangan salah faham, kita luluskan ketum bukan untuk minum, tetapi untuk jual kerana ketum dan hem dapat permintaan tinggi di luar negara,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.