Siasatan ke atas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd
Ghazali yang dikaitkan dakwaan mempunyai wang diragui dalam akaunnya seharusnya
dilakukan oleh badan kehakiman dengan menubuhkan tribunal.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata, tidak wajar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia campurtangan dalam
hal hal yang membabitkan kehakiman.
"Saya ambil maklum isu melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk
Mohd Nazlan Mohd Ghazali terkait dakwaan wang RM1 juta yang tidak dapat
dijelaskan dalam akaunnya.
"Saya ingin tegaskan institusi kehakiman sendiri mempunyai
badan yang menyelia dan mengawal integriti para hakim dan ini ditetapkan untuk
memastikan agar wujud pembahagian kuasa yang jelas di dalam sistem yang ada.
Justeru campurtangan SPRM melanggar prinsip ini," katanya.
Menurut Anwar lagi, integriti badan kehakiman yang baharu sahaja
pulih setelah tercemar teruk sedekad sebelum ini perlu dipertahankan dan
kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seharusnya mempunyai
tekad politik dalam mempertahankannya.
"Integriti dan kebebasan badan kehakiman kelihatan beransur
pulih akibat dari kecelaruan dan ketempangan berdekad-dekad lamanya tanpa ada
usaha serius pemerintah untuk membetulkannya.
"Adalah dikhuatiri hebahan sebegini akan dianggap sebagai
tekanan dan campurtangan politik," kata Anwar lagi.
Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelum ini telah membuat
laporan polis ke atas artikel bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now
wants judge Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge
Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ yang didakwa ditulis Raja Petra
Kamaruddin.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pula dalam kenyataan
media berkata tuduhan membabitkan Nazlan adalah palsu, tidak berasas serta
berniat jahat.