Mahkamah benar pendakwaan fail hujah tambahan kes rasuah Rosmah

 


Pihak pendakwaan akan memfailkan hujahan bertulis terhadap Rosmah
 Mansor selewat-lewatnya 22 April dan pembelaan boleh menjawab
 selewat-lewatnya 12 Mei. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perbicaraan rasuah dihadapi Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion ditangguhkan kepada 12 Mei kerana pihak pendakwaan mahu memfailkan hujahan tambahan.

Mahkamah Tinggi hari ini sepatutnya dijadualkan mendengar pihak pembelaan dan pendakwaan membuat hujahan lisan sebelum tarikh untuk keputusan ditetapkan.Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata, hakim perbicaraan Zaini Mazlan membenarkan permohonan pihak pendakwaan itu dalam kamar.

“Hakim membenarkan permohonan kami untuk memfailkan hujahan tambahan sebagai respons kepada kes pembelaan,” katanya kepada wartawan.

Pihak pendakwaan mesti memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya 22 April dan pihak pembelaan boleh menjawab selewat-lewatnya 12 Mei.

“Sebutan akan dibuat pada 12 Mei dan jika perlu, pihak-pihak terbabit boleh membuat penjelasan mengenai hujahan mereka,” kata Poh.

Rosmah, 70, didakwa meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016.

Rosmah dikatakan menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta, di sini, pada 7 Sept 2017.

Pendakwaan telah memanggil 23 saksi dan dua oleh pihak pembelaan.

No comments: