DAKWAH : [Berus Gigi Dan Bersiwak Ketika Berpuasa: Makruh Atau Sebaliknya?]

 [Berus Gigi Dan Bersiwak Ketika Berpuasa: Makruh Atau Sebaliknya?]

1. Sebelum saya menjawab persoalan yang ditanyakan ini, saya ingin membahaskan terlebih dahulu pandangan fuqaha terdahulu berkaitan hukum bersiwak setelah zawal (setelah masuk waktu Zuhur) kerana perkara ini diperselisihi hukumnya dalam kalangan fuqaha terdahulu.
Dalam Aujaz al-Masalik syarah kepada Muwatta' Imam Malik, dinukilkan ada sekitar 6 hingga 8 pandangan ahli ilmu berkaitan permasalahan ini. Ada yang mengharuskan bersiwak setelah waktu Zuhur dan juga ada yang memakruhkan perbuatan tersebut. Berikut sedikit huraian tentangnya:
i Pandangan pertama: hukum bersiwak setelah masuk waktu Zuhur termasuk dalam perkara yang makruh. Pandangan ini disandarkan kepada mazhab Syafie. Berikut adalah teks daripada kitab-kitab ulamak Syafieyah.
Ibn Qasim al-Ghazzi (918H) berkata dalam Fath al-Qarib:
والسّواك مستحبّ في كلّ حال ولا يكره تنزيها إلّا بعد الزّوال للصّائم فرضا أو نفلا، وتزول الكراهة بغروب الشّمس، واختار النّوويّ: عدم الكراهة مطلقا
"Bersiwak digalakkan pada setiap keadaan dan hukum bersiwak tidak makruh tanzih melainkan setelah zawal (setelah masuk waktu Zuhur) bagi orang yang berpuasa sama ada puasa wajib ataupun sunat. Hilang kemakruhan itu apabila telah terbenam matahari. al-Nawawi pula memilih pandangan tidak makruh bersiwak secara mutlak"
[Ibn Qasim, Muhammad bin Qāsim bin Muhammad Al-Ghazzi (2019), Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, Beirut: Dar al-Minhaj, hal 74]
Ibn Naqib Al-Misri (769H) berkata dalam Umdah al-Salik:
ويكره ذوق الطعام وعلك وسواك بعد الزّوال
"Dan dimakruhkan mencicip (merasa) makanan, mengunyah makanan dan bersiwak setelah zawal (masuk waktu Zuhur)"
[Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Naqib al-Mishri (2015), Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik, Beirut: Dar al-Minhaj, hal 203]
Ulamak Syafieyah memakruhkan perbuatan bersiwak apabila telah masuk waktu zawal iaitu setelah masuknya waktu Zuhur.
Apakah dalil yang digunakan oleh ulamak Syafieyah memakruhkan perkara ini? Dalam kitab Busyra al-Karim, disebutkan dalil mengapa dimakruhkan perkara ini. Mereka berdalilkan hadith:
لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى مِنْ رِيحِ المِسْكِ
"Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum disisi Allah daripada bau haruman kasturi."
[Riwayat Al-Bukhari, 1795]
Terdapat juga nukilan secara ringkas ikhtilaf perbezaan pandangan antara al-Izz Abd al-Salam dan Ibn al-Solah berkaitan bau mulut yang disukai Allah itu dimaksudkan pada hari kiamat ataupun di dunia.
ii. Pandangan kedua: tidak makruh untuk bersiwak setelah waktu Zuhur. Pandangan ini adalah pandangan mazhab Hanafi dan ikhtiarat (pandangan pilihan) Imam Nawawi yang merupakan salah seorang ulamak mazhab Syafie.
Sekiranya kita melihat berkaitan al-Nawawi dalam permasalahan yang lain, terdapat beberapa masalah tertentu yang mana ikhtiarat (pandangan pilihan Imam Nawawi) yang tidak dinisbahkan kepada pandangan muktamad mazhab Syafie.
Adakalanya Imam Nawawi memilih sesebuah pandangan itu kerana penghujahan dalil yang dilihat kuat dari sudut ijtihadnya sendiri.
Hasyiah al-Bajuri ialah kitab yang dijadikan rujukan penting untuk ahli ilmu yang bermazhab Syafie. Ketika Syaikh al-Bajuri memberi komentar terhadap ikhtiarat pandangan pilihan Imam Nawawi yang mengatakan tidak makruh secara mutlak, al-Bajuri berkata Hasyiahnya:
أي من جهة الدليل
"Imam Nawawi memilih pandangan tidak makruh kerana menilai dari sudut dalil"
[Ibrahim al-Bajuri, Burhanuddin Abu Ishaq Ibrohim bin Muhammad bin Ahmad Al-Bajuri Al-Manufi Al-Mishri (2015), Hasyiah al-Bajuri, Lubnan: Dar nur al-Sobah, jil 1, hal 136]
Ada nukilan yang disandarkan kepada Imam Syafie yang secara mafhumnya beliau berpandangan tidak makruh bersiwak walaupun pada waktu petang. Imam Nawawi mengkritik penyandaran ini kepada Imam Syafie.
Imam Nawawi (676H) berkata:
وهذا النقل غريب وإن كان قويا من حيث الدليل
"Nukilan (perkataan yang disandarkan kepada Imam Syafie) ini adalah gharib, walaupun pandangan ini kuat dari sudut dalil"
[Al-Nawawi, Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (2005), Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab, Beirut: Dar al-Fikri, jil 2, hal 341]
Dapat kita ketahui, menurut Imam Nawawi pandangan tidak makruh untuk bersiwak setelah masuk waktu Zuhur ini lebih kuat dari sudut dalil.
2. Apakah hujah yang digunakan oleh ulamak yang tidak memakruhkan bersiwak setelah waktu Zuhur? Antara dalil yang digunakan untuk mengharuskan bersiwak setelah waktu zohor adalah:
Daripada Abdullah bin Amir bin Rabiah daripada ayahnya, dia berkata bahawa:
عن عبد الله بن عامر بن ربيعة عن أبيه قال رأيت النبي صلى الله عليه وسلم ما لا أحصي يتسوك وهو صائم
"Aku pernah melihat Rasulullah bersiwak sedangkan baginda dalam keadaan puasa hingga aku tidak dapat menghitung jumlahnya"
[Hadith Riwayat Tirmizi, 725]
Hadith ini dinilai sebagai Hasan oleh al-Tirmizi. Walau bagaimanapun terdapat kritikan pada sanad hadith ini kerana terdapat perawi yang bernama 'Asim bin 'Ubaidullah yang dikriitk oleh ulamak hadith berkaitan hafalannya.
Terdapat dalil lain yang sahih dalam bab ini menerangkan tentang kelebihan bersiwak.
Rasulullah bersabda:
لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ
"Sekiranya tidak memberatkan umatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka untuk bersiwak sewaktu setiap kali ingin menunaikan solat"
[Riwayat Bukhari 887]
Berdasarkan dalil ini sebahagian fuqaha membenarkan bersiwak setelah zawal (setelah masuk waktu Zuhur) kerana hadis ini bersifat mutlak. Tidak ada hadith yang soreh berstatus sahih melarang secara mutlak untuk bersiwak setelah masuknya waktu Zuhur.
3. Imam Ibn Roslan menyebutkan dalam Matan al- Zubad yang merupakan salah satu matan dalam mazhab Syafie:
أمّا استيك صائم بعد الزّوال
فاختير لم يكره ويحرم الوصال
"Adapun bersiwak bagi orang yang berpuasa setelah zawal (setelah masuk waktu Zuhur),
Maka terdapat orang yang memilih pandangan yang tidak makruh. Adapun puasa wisol hukumnya adalah haram"
Dalam matan di atas disebutkan terdapat pandangan yang tidak memakruhkan bersiwak setelah waktu Zuhur. Untuk mengetahui maksud teks di atas, kita perlu meneliti syarahnya.
Salah satu syarah kepada Matan al-Zubad adalah Fath al-Rahman. Syarih (iaitu pensyarah kepada Matan al-Zubad) menyenaraikan antara ulamak mazhab Syafie yang memilih pandangan menyatakan tidak makruh. Antaranya adalah:
- Al-Nawawi
- Ibn Abd al-Salam
- Abu Syamah
[Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli (2009), Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Roslan, Beirut: Dar al-Minhaj, hal 480]
Kesimpulan:
- Menurut pandangan mazhab Syafie, makruh bersiwak setelah zawal (apabila masuk waktu Zuhur)
- Mazhab Hanafi dan Ikhtiarat (pandangan pilihan) ulamak mazhab Syafie seperti Imam Nawawi, tidak makruh bersiwak walaupun setelah waktu Zuhur.
- Saya cenderung kepada mazhab Hanafi kerana bau mulut orang berpuasa datangnya dari perut bukannya mulut. Ia kekal ada walau setelah bersugi.
Moga bermanfaat.
Dr Rozaimi Ramle