*BERANI KERANA BENAR, TAKUT KERANA SALAH*

 *BERANI KERANA BENAR, TAKUT KERANA SALAH*


*_Datuk A Kadir Jasin_* ✍🏻


Di hadapan orang ramai, bekas perdana menteri Najib Razak, tunjuk berani.

Ini adalah kerana dia tahu dia boleh berbohong dan ada sebahagian orang ramai akan percaya.


Jadi dia pun tunjuk berani. Dia mahu perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan bermula esok (3 April) disiarkan secara langsung (live).

Tetapi di hadapan mahkamah dia takut oleh sebab dia tahu bukti terhadapnya kuat.


Jadi dia buat macam-macam muslihat untuk lengah dan gagalkan perbicaraan. Apabila kita semua dibagi gambaran dan jaminan bahawa perbicaraan akan dimulakan esok, tiba-tiba Najib buat satu lagi percubaan menghalangnya.

Peguam dia yang bernama Harvinderjit Singh semalam kemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan agar pertimbangkan semula keputusannya memulakan perbicaraan esok.


Saya amat berharap mahkamah tertinggi negara itu akan tolak rayuan ini sebagai remeh (frivolous).


Inilah muslihat Najib dan para peguamnya mencari talian hayat bagi memanjangkan umurnya sebagai orang bebas.


Mereka tahu jika perbicaraan tidak dihalang dan Najib masuk kandang tertuduh, maka harapan membuktikan yang dia tidak bersalah adalah tipis.

Peguam ni mereka tahu dari awal lagi sama ada anak guaman mereka bersalah atau tidak.


Mereka “bicarakan” dulu anak guaman mereka sebelum dibicarakan oleh mahkamah.


Kalau mereka percaya akan guaman mereka tidak bersalah, mereka akan pertahankannya atas dasar dia tidak bersalah.


Tetapi kalau pada pendapat mereka dia bersalah, mereka akan pertahankannya atas dasar dia bersalah.


Dalam sistem kehakiman kita, tugas pendakwa raya membuktikan sabitan kes adalah lebih berat daripada pembela menafikan pembabitan tertuduh.

Pendakwa raya wajib membuktikan di luar sebarang keraguan bahawa tertuduh melakukan jenayah yang dituduh.


Pihak pembela hanya perlu menimbulkan keraguan berpatutan terhadap bukti dan hujah pendakwa.

Itu pun rasanya Najib tidak yakin sebab dia sendiri tahu apa yang dia lakukan itu adalah salah dan tidak patut dilakukan apatah lagi oleh seorang perdana menteri.


*DUIT PESARA*


Nombor satu, duit sebanyak RM42 juta yang masuk akaun peribadi Najib itu bukan duitnya atau duit suku-sakatnya.


Bukan duit Yayasan Noah (datuknya sebelah ibu) atau sumber-sumber lain yang sah di segi undang-undang.

Ia adalah duit SRC International Sdn Bhd. Masa itu, SRC adalah anak syarikat milik penuh 1Malaysia Development Bhd (1MDB).


SRC ini pula pinjam RM4.4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP kononnya untuk buka lombong arang batu di Mongolia (negeri mendiang Altantuya Shaariibuu).


KWAP ini adalah pemegang amanah duit pencen kakitangan awam. Duit orang pencen dan yang akan pencen. Kita hendak tahu macam mana dan untuk tujuan apa duit dari tabung pencen kakitangan awam boleh masuk ke dalam akaun peribadi Najib.


*KURANG YAKIN*


Maaf cakaplah kalau saya kata, saya tidak berapa percaya lagi dengan perbicaraan Najib ini.

Saya akan percaya hanya apabila Najib didudukkan di dalam kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok dan mula dibicarakan.


Itu pun belum ada jaminan bahawa Najib dan pasukan pembelaannya tidak akan buat tipu-helah macam digigit anjing, sakit perut dan kesuntukan masa.

Silap-silap Najib minta tangguh sebab dia kena hadir Dewan Rakyat yang sedang bersidang sekarang.


Tak tahulah kalau dia diperlukan minta cuti atau Dewan Rakyat sendiri bagi kelepasan untuk hadir perbicaraan. Dia akan buat semua ini untuk mengabui mata rakyat jelata yang tidak arif mengenai undang-undang. Bagi Najib segala-galanya adalah mengenai perbatuan politik (political milage).


Inilah malapetaka yang telah menimpa orang Melayu yang pastinya beragam Islam sehingga sanggup terus menerima dan menyanjung orang seperti Najib sebagai “Bossku”.


Akibat perbuatan orang seperti inilah maka Melayu dan Islam terancam bukan kerana Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional.


Sebaliknya kerana kemenangan PH lah segala jenayah dan kejahatan kerajaan dahulu dapat dibongkar, diambil tindakan dan negara diselamatkan.

Melayu dan Islam terancam kerana perbuatan “Bossku” dan orang-orang seangkatan dengannya.


Mereka inilah yang menggunakan slogan bangsa dan agama untuk memukau dan membodohkan orang Melayu. Dalam mereka merompak dan mencuri puluhan bilion duit negara dan merosakkan institusi kerajaan, rakyat jelata diberikan dedak kerana wang tunai adalah raja.

Bagi saya dan saya yakin begitu juga dengan majoriti rakyat jelata, jenayah rompakan duit negara ini akan selesai hanyalah apabila keadilan dilakukan dan yang bersalah disumbatkan ke dalam penjara.


Itu pun kita tetap memerlukan masa dan keringat untuk memperbetulkan segala kerosakan yang dilakukan oleh tertuduh dan mereka yang bersekongkol dengannya.