Pengalaman kesukaran pengundi
yang berada di luar negara untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri
(PRN) Johor baru baru ini sewajarnya menjadi pengajaran kepada Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) untuk memperbaiki sistem pendaftaran pengundian secara pos.
Sehubungan itu, pertubuhan
pemantau pilihan raya BERSIH menyarakan agar SPR memperbaiki sistem pendaftaran
agar tidak berulang peristiwa PRN Johor, yang mana hanya 7,814 pengundi
daripada 200,000 anak Johor yang tinggal di luar negara, atau 4% daripada mereka
mengundi secara pos.
Menurut pertubuhan itu,
pemprosesan dan pengurusan undi pos oleh SPR kini yang terlalu bergantung
kepada proses manual dan mempunyai keupayaan terhad, serta membawa kepada
kesalahan manusia menjadi punca kegagalan SPR melaksanakan tugasnya.
"Kami menganggarkan proses
yang sedia ada, SPR tidak dapat menguruskan permohonan undi pos lebih daripada
10,000 tanpa berhadapan dengan tunggakan dan penangguhan yang serius.
"Perkara ini akan mencerut
pengurusan dan boleh menafikan ratusan ribu pengundi yang berpotensi. Seluruh
proses ini perlu dirombak sebelum PRU 15," kata BERSIH dalam kenyataan
mereka.
Justeru, BESIH mencadangkan
agar SPR menghapuskan keperluan untuk mencetak kertas undi, Borang 2 dan sampul
dengan membenarkan pengundi pos yang telah lulus untuk memuat turun dokumen
versi PDF daripada akaun MySPR mereka dari atas talian.
"Ini akan menjimatkan 5
hingga 14 hari untuk mencetak, memasukkan sampul dan masa untuk penghantaran.
"Ini juga akan menjimatkan
kos yang diperlukan untuk menggaji pekerja untuk melakukan tugas secara manual,
kos material dan menghapuskan kesalahan pengurusan manusia seperti memasukkan
kertas undi ke sampul yang salah atau menulis nombor siri yang silap pada
Borang 2.
"Untuk memperkukuhkan pengenalan,
salinan pasport dan MyKad perlu dilampirkan dengan amaran denda dinyatakan
dengan jelas kepada mereka yang ingin melakukan penipuan dan penyamaran atau
membuat salinan kertas undi," kata mereka.
Di samping itu, BERSIH juga
menyarankan agar beberapa isu lain diperbaiki demi mewujudkan pilihan raya yang
lebih demokratik dengan penyertaan pengundi sekitar 70% daripada jumlah
pengundi berdaftar.
"Tempoh permohonan menjadi
pengundi pos luar negara perlu dipanjangkan sebaik sahaja Dewan dibubarkan dan
ditutup sejurus sebelum Hari Penamaan.
"Tempoh kempen minimum 21
hari untuk memberikan masa yang mencukupi bagi kertas undi dikembalikan sebelum
Hari Pengundian.
"Semua arahan, sama ada
atas talian atau luar talian (offline), perlu dwibahasa dalam Bahasa Malaysia
dan Bahasa Inggeris.
"Saksi yang menandatangan
Borang 2 tidak semestinya rakyat Malaysia, memandangkan ada situasi di mana
pengundi tersebut mungkin satu-satunya rakyat Malaysia di bandar atau kawasan
tersebut," kata mereka lagi.
Tambah BERSIH, pembaharuan
prosedur tersebut dalam ruang lingkup SPR dan tidak memerlukan pindaan
undang-undang yang besar terhadap undang-undang sedia ada serta sempat
dilaksanakan sebelum PRU akan datang.