Anwar yakin PH dapat pertahan Selangor
Dasar merakyatkan ekonomi Selangor yang dimulai sejak 2008 telah memberi kesan besar dalam dua siri Pilihan Raya Umum (PRU) lalu di mana KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) memperbaiki prestasinya
Bagi PRU ke 15, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin parti itu dapat mempertahankan pengaruh di negeri berkenaan.
Hal itu diungkapkan beliau dalam ucapan pada Majlis Berbuka Puasa bersama para hampir 750 Ketua Kampung, wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan ketua komuniti di Selangor, semalam.
“Saudara saudari, Selangor seperti mana disebut saudara Amir (Menteri Besar) telah menunjukkan keupayaan memperuntukkan dana bagi kebajikan rakyat
“Sebab itu saya setuju dengan gesaan beliau. Walaupun ada beberapa ulasan dari Pilihan Raya Kecil beberapa ketika dahulu, saya yakin bahawa (KEADILAN) Selangor bukan sekadar mengekalkan tetapi akan memperbaiki prestasinya berbanding pilihan raya yang lalu.
“Ada rencana dan kebijakan ekonomi MB dan kerajaan Negeri Selangor membantu hal hal yang sedemikian. Selagi saudara teruskan kerja sebegini (membantu rakyat), apa sahaja analisis tentang keupayaan kita memenangi pilihan raya akan datang, kita boleh humban mereka kerana kita yakin khidmat yang saudara lakukan,” katanya.
Untuk rekod, dasar merakyatkan ekonomi Selangor dan pemberian bantuan berkala mempopularkan KEADILAN dan PH sepanjang PRU 2013 dan 2018.
Pada 2018 lalu rakyat Selangor hanya membenarkan 5 DUN dimenangi pembangkang dan PH memperolehi majoriti lebih 2/3. Namun selepas Bersatu meninggalkan PH dan berlakunya Langkah Sheraton kerajaan PH hanya mempunyai majoriti mudah di dalam Dewan Negeri Selangor.