Seorang pegawai yang mengiringi rombongan
bekas perdana menteri Najib Razak didakwa memaki wartawan yang membuat liputan
berhubung kempen BN sempena pilihan raya negeri Johor.
Kejadian dikatakan berlaku dua hari lalu
ketika Najib mengiringi calon Tangkak dari BN/MCA Ong Chee Siang yang berkempen
di Pusat Penjaja Tangkak Jaya.
Seorang saksi memberitahu Malaysiakini bahawa ketika Najib dan Ong sedang
menjamu selera, sepasukan anggota pegawai dari jabatan kesihatan telah cuba
mendekati rombongan Najib.
Seorang anggota rombongan yang memakai baju
hijau muda menghampiri pegawai tersebut dan wartawan yang berada di situ mula
merakamkan gambar.
“Apabila (lelaki berbaju hijau itu) menyedari seseorang
sedang mengambil gambar, dia menghampiri seorang wanita yang mempunyai bukti
bahawa dia adalah petugas media, dan memintanya memadamkan gambar yang diambil
itu.
"Saya dengar wanita itu enggan berbuat demikian dan
sebaliknya bertanyakan identiti individu tersebut. (Individu berbaju hijau itu)
menjawab bahawa dia adalah pegawai Najib dan berulang kali berkata 'Najib bos
saya'.
"Terjadi pertikaman lidah antara mereka dan lelaki
itu menggunakan (bahasa kesat) iaitu F-word terhadap
wanita berkenaan. Malah, dia mendekatkan dirinya ke arah wanita itu. Dia sangat
bongkak.
"Wartawan itu meminta lelaki tersebut supaya
menjarakkan diri. Tetapi lelaki itu berulang kali membalas dengan F-word. (Pertengkaran) berakhir dengan kedua-duanya
membuat panggilan telefon," kata saksi kejadian.
Saksi turut berkata dia berada di lokasi untuk mengambil
gambar tetapi berhenti berbuat demikian kerana ketakutan selepas melihat
keberangan lelaki berbaju hijau itu.
Katanya, dia kemudian mendekati pegawai jabatan kesihatan
di kawasan tersebut dan mendapati mereka cuba mengeluarkan denda kepada Najib
atas kesalahan yang dilakukan pada 26 Feb.
“Lelaki berbaju hijau itu tidak patut membuat kecoh
dengan menghalang wartawan itu dan memakinya.
"Jika Najib melanggar protokol Covid-19, mengapa
melindunginya? Ini sudah melampau kerana menggunakan perkataan sedemikian (F-word) kepada media.