Persaingan politik dalam Pilihan Raya Negeri Johor kali ini tidak
berlaku secara matang.
Semakin banyak bahan kempen KEADILAN dirosakkan oleh penyokong
parti lawan.
Terbaharu, papan iklan memaparkan calon KEADILAN DUN Layang
Layang, Dr Maszlee Malik disabotaj dengan menampal sticker 'harapan palsu'
Menurut kenyataan KEADILAN Layang Layang, perbuatan seperti itu
amat tidak bertamadun ketika mana KEADILAN mengamalkan politik nilai dan
berhujah dalam kempen pilihan raya
"Dari bendera panji KEADILAN dibakar di Layang-Layang,
dipacak bendera mereka hadapan poster calon Layang-Layang sehinggalah yang
terbaru menampal pelekat berunsur troll kononnya.
"Di manakah kematangan berpolitik?" tanya kenyataan itu.
Kenyataan tersebut juga mengimbau kembali kempen Pilihan Raya Umum
ke 14 lalu yang mana bilik jentera KEADILAN dilempar mercum dan dibingitkan
dengan pekikan ekzos motor serta dikepung segerombolan konvoi bermotosikal
sambil jentera pilihan raya dicemuh kata-kata kesat menggunakan sistem siar
raya.
Perbuatan tersebut bukan sahaja tidak menjamin kestabilan politik
malah mengundang pergaduhan besar sekiranya tiada kesabaran di pihak yang
dibuli.
"Anda mahu kestabilan kuasa kononnya, anda sendiri mahu
membubarkan kerajaan ditadbir anda sendiri, anda juga yakin momentum kemenangan
di Melaka tahun lalu akan jadi pemangkin "Kestabilan dan Kemakmuran"
sebagai cogankata.
"Kenapa perlu berkelakuan moral yang rendah sebegini? Anda
kan yakin momentum di Melaka akan berterusan di PRN Johor," sinis
kenyataan itu.
Insiden mensabotaj bahan kempen terbaharu telah dilaporkan kepada
pihak polis.