ZAIDI AHMAD
Pekan
15 Mac 2022
HENTIKAN MENGHINA DAN PEMBUNUHAN KAREKTOR KE ATAS RAFIZI RAMLI
Ramai yang marah Rafizi mengapa tidak membantu pertahan parti
semasa "langkah Sheraton" dilaksanakan oleh Azmin, Kartel dan
Bersatu.
Ramai juga yang mencemuh Rafizi mengapa ambil tindakan
"berehat" tatkala parti dalam kesusahan.
Malah ramai yang menghina Rafizi kerana tidak membantu parti
menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah,, Melaka, Sarawak dan yang terbaru, Johor.
Jawapan saya kepada 3 persoalan di atas adalah seperti berikut:
Langkah Sheraton & Rampasan Kuasa:
Tidak ramai yang mengetahui apabila berlaku Langkah Sheraton,
Rafizi tampil untuk membantu menyelamatkan Kerajaan PH, namun beliau kemudian
berundur kerana tidak bersetuju apabila ada pihak berstatus pimpinan di dalam
parti yang masih berunding dengan pimpinan Umno waktu itu.
Tindakan berunding dengan Umno adalah langkah paling
terkebelakang buruk dan bahaya dalam usaha menyelamatkan Kerajaan PH. Sangat
menghairankan kerana mereka yang berkedudukan sebagai pimpinan parti masih
percaya kepada janji-janji Umno. Lebih 20 tahun usaha menjatuhkan Umno menjadi
sia-sia apabila perundingan dengan mereka menjadi naratif utama mempertahan
kuasa.
Ingatlah, Umno tidak boleh dipercayai selamanya.
Betulkah Rafizi "Berehat" Tatkala Parti Dalam
Kesusahan?
Ini salah sama sekali.
Rafizi tidak berehat ketika parti dalam kesusahan. Rafizi
meletakkan jawatan selaku Naib Presiden (yang dilantik) pada bulan Oktober 2019
tatkala KEADILAN sedang menjadi Kerajaan Persekutuan dan beberapa Kerajaan
Negeri bersama PH Plus.
Maknanya Rafizi letak jawatan sewaktu KEADILAN berada di puncak
kegemilangan sebagai parti terbesar di dalam koalasi PH Plus dengan ramai Ahli
Parlimen menjadi Menteri dan Timbalan Menteri. Malah dua orang ADUN KEADILAN
diangkat menjadi Menteri Besar (Selangor & Negeri Sembilan). Ramai juga
ADUN KEADILAN yang diangkat menjadi EXCO Negeri waktu itu.
Perletakkan jawatan sewaktu KEADILAN gemilang berada di puncak
kuasa menunjukkan Rafizi seorang yang tidak tamak kepada jawatan dan pangkat.
Beliau berusaha keras siang dan malam selama 3 tahun sebelum
PRU14 untuk memenangkan KEADILAN dan PH. Daripada sejumlah 44 Parlimen yang
dipertanggungjawabkan penuh kepadanya, KEADILAN & PH menang 42 kerusi dan
hanya tewas 2 kerusi.
Siang dan malam beliau membongkar kejahatan Umno, BN, Najib dan
Rosmah sehingga dirinya di hadap ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara.
Ini menghalang beliau daripada bertanding dalam PRU14.
Mengapa Rafizi Tidak Membantu Parti Dalam PRN Sabah, Melaka,
Sarawak dan Johor?
Jawapannya berkait dengan persoalan pertama iaitu beliau telah
meletakkan jawatan.
Semasa Rafizi "berehat" wajarlah pemimpin-pemimpin
lain yang selama ini mengaku sangat setia dan sentiasa membantu Presiden tampil
menonjolkan kewibawaan masing-masing.
Pemimpin-pemimpin ini sewajibnya mengemukakan idea-idea bernas
untuk memenangi keempat-empat PRN tersebut. Turun ke seluruh pelusuk
negeri-negeri tersebut mengetuai kempen. Menyusun jentera dan gerak kerja.
Ketiadaan sosok Rafizi di dalam PRN Sabah, Melaka, Sarawak dan
Johor harus membuka ruang kepada pemimpin-pemimpin yang ada bangkit membantu
Presiden.
Namun apa yang nyata hanya Presiden, Kak Wan dan Nurul Izzah
yang tampil dan bekerja keras.
Di mana pemimpin-pemimpin lain? Hanya tampil sekali sekala sambil
bertanya soalan "di mana tempat makan yang sedap". Paling ramai ialah
"membontoti" ke mana Presiden, Kak Wan dan Nurul Izzah pergi
berkempen sambil cuba menyelit mencari ruang untuk berucap.
Inilah realiti yang berlaku.
Rafizi Kembali Ke Gelanggang Politik.
Keputusan Rafizi untuk kembali ke gelanggang politik diambil
ketika KEADILAN dan PH berada di tahap yang kritikal. Kalah 4 PRN dengan Melaka
dan Sarawak tidak menang walau satu kerusi pun. Manakala Johor hanya menang 1
kerusi daripada 20 yang ditandingi.
Ini menunjukkan bahawa Rafizi bukan "pergi ketika susah
datang ketika senang"
Sebaliknya Rafizi "pergi ketika parti dalam kesenangan dan
datang kembali ketika parti dalam kesusahan".
Keputusan bertanding jawatan Timbalan Presiden oleh Rafizi
sepatutnya diraikan. Ini proses demokrasi di dalam parti. Tiada yang menyalahi
dan perlu dibimbangkan.
Sesiapa yang layak silalah tampil mengemukakan pencalonan.
Bertandinglah dengan profesional dan semangat persaudaraan. Tegurlah dengan
berhemah. Jauhkan menghina dengan tujuan membunuh karektor.
Raikan perbedaan. Berhujahlah dengan fakta.
Selamat bertanding pemilihan parti.