PATUTLAH RAKYAT MENGUTUK KECUALI YANG BANGGANG SAHAJA YANG DIAM MEMBISU TANPA BERKATA APA APA DAN MENYERAHKAN NASIB PADA MEREKA

 


PM, Jemaah Menteri ‘tak tahu apa-apa’, negara jadi kucar kacir, kata Zaid




Zaid Ibrahim berkata, hanya PRU dapat menyelamatkan Malaysia, dengan memberi ruang untuk kita memulakan rekod bersih.

PETALING JAYA: Seorang bekas menteri membidas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Jemaah Menterinya dengan berkata, mereka begitu tidak cekap sehingga tiada seorang pun layak menjadi “poster boy”.

“Negara kucar-kacir dan ini kerana kita tiada kepimpinan yang bagus. Mereka ini tak tahu apa-apa,” kata Zaid Ibrahim kepada FMT.

Bekas menteri yang pernah memegang portfolio undang-undang itu menyenaraikan pelbagai masalah dihadapi negara, daripada ekonomi yang terbantut, kekurangan buruh, harga makanan yang melambung tinggi, inflasi yang meningkat kepada Menteri Kewangan yang “tidak faham perjuangan rakyat”.

“Rakyat menderita dan individu yang bertanggungjawab ke atas wang negara nampaknya seperti tidak faham apa yang berlaku. Ia agak membimbangkan,” katanya, merujuk kepada keengganan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz membenarkan pengeluaran lanjutan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Zaid berkata, realitinya adalah Perdana Menteri berada dalam kedudukan yang sukar akibat sokongan yang rapuh.

“Tangannya terikat jadi beliau perlu terus memilih daripada kumpulan sama tokoh yang tidak cekap, anggota Kerajaan Gagal yang mengambil alih selepas Langkah Sheraton,” kata Zaid.

“Sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri dalam senario ini akan berdepan masalah yang sama. Itulah sebabnya kita perlu pilihan raya umum (PRU).”

Zaid berkata, hanya PRU dapat menyelamatkan Malaysia, dengan memberi ruang untuk kita memulakan rekod bersih.

“Ada yang berkata, tiada pihak yang akan mendapat majoriti. Bagaimana mereka tahu? Adakah mereka mempunyai bola kristal (untuk meramal)?

“Adakah kita menyekat demokrasi kerana kita fikir kita boleh ramal hasilnya? Itu mengarut,” katanya.

Beliau berkata, cara terbaik untuk menghentikan taktik politik yang membantutkan negara adalah dengan mengadakan PRU15 dan membiarkan rakyat menentukan langkah untuk maju.

Kedudukan lemah Ismail sebagai Perdana Menteri terserlah minggu ini apabila Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata, sokongan partinya kepada Ismail adalah “bersyarat”.

Sebagai tindak balas, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata, PRU awal akan menyelesaikan isu ancaman Bersatu mengenai sokongannya kepada Ismail, dan akan memberikan Perdana Menteri seterusnya lebih banyak kebebasan untuk mentadbir.