Kerajaan Negeri melalui anak
syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menjual ayam segar
pada harga RM8 sekilogram di premis jualan di bawah seliaan PKPS bermula 7
Februari 2022.
Menurut Menteri Besar (MB)
Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, inisiatif itu adalah bagi memastikan
rakyat Selangor terus mendapat akses secukupnya kepada ayam segar berkualiti
dan pada harga berpatutan.
"Bagi membantu mengurangkan
beban kenaikan harga barang makanan, Kerajaan Negeri menerusi PKPS telah
memperuntukkan dana sebanyak RM1 juta untuk menjalankan Program Intervensi
Harga Makanan Ehsan.
"Ini sebagai sebahagian
usaha Kerajaan Negeri memastikan harga barang makanan segar di Selangor
terkawal sehingga musim perayaan nanti.
"Program ini akan meliputi
kos subsidi, pengurangan sewa dan bantuan logistik kepada rantaian bekalan yang
strategik untuk mengawal harga barang makanan khususnya produk segar,"
katanya.
Menurut MB lagi, sebanyak
50,000 ekor ayam standard akan diperuntukkan bagi kempen harga jualan itu untuk
tempoh dua minggu bermula Isnin ini.
"Ayam Standard Ehsan PKPS
boleh didapati pada harga tersebut di dua premis jualan utama iaitu di Pasar
Borong Selangor, Seri Kembangan dan Outlet PKPS, Seksyen 14, Shah Alam.
Pembelian terhad kepada 2 ekor setiap pembeli.
"Semoga ikhtiar ini
memberi manfaat kepada rakyat di Negeri Selangor di saat kenaikan harga barang
yang membebankan rakyat," katanya.