Muda pecahkan undi, wajar henti kerjasama - KEADILAN Selangor


 

Pengumuman parti Muda meletakkan calon di DUN Larkin yang sebelum telah dipersetujui ditandingi oleh calon KEADILAN sangat merugikan pakatan pembangkang dalam menghadapi BN dan PN.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, tindakan gopoh Muda itu menunjukkan parti berkenaan tidak menghormati kerjasama politik yang telah dijalinkan bersama KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH).

Oleh itu, katanya, tidak menjadi masalah sekiranya KEADILAN bertindak balas ke atas keputusan Muda berkenaan.

"Umum mengetahui KEADILAN telah meletakkan calon atas kesepakatan bersama PH di DUN Larkin dan tindakan Muda bakal memecahkan undi pembangkang dan memberi kelebihan kepada calon Barisan Nasional.

"KEADILAN Selangor menggesa sebarang kerjasama politik antara KEADILAN dan PH bersama Muda dihentikan serta merta (akibat keputusan berkenaan)," katanya.

Beliau yang juga ADUN Seri Setia menyeru agar KEADILAN dan PH Johor meningkatkan usaha bagi memberi pemahaman berkenaan isu isu semasa politik kepada pengundi Johor bagi menarik semaksimum mungkin sokongan.

"Seluruh jentera pilihan raya KEADILAN dan PH perlu meningkatkan usaha memberi pencerahan kepada rakyat negeri Johor dan memastikan perompak, perasuah dan pengkhianat tidak kekal berkuasa mentadbir kerajaan negeri Johor," katanya lagi.

Pertembungan berlaku apabila Muda semalam mengumumkan akan meletak calon di DUN Larkin yang merupakan kerusi tradisi KEADILAN. Muda sebaliknya enggan menerima tawaran bertanding di 3 kerusi bukan tradisi KEADILAN dalam rundingan sebelum ini.

 

No comments: