1MDB dakwa Jho Low, Najib ‘pengarah bayangan’ syarikat

 

1MDB mendakwa Najib Razak dengan penglibatan Jho Low mengarahkan penyingkiran Ernst & Young sebagai juruaudit syarikat itu untuk menyembunyikan kerugian 1MDB akibat pelesapan dana melalui penipuan. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: 1MDB mendakwa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah “pengarah bayangan” dalam syarikat pelaburan strategik itu kerana beliau merupakan proksi bekas Perdana Menteri, Najib Razak dalam memberi arahan kepada lembaga pengarah dan pengurusan kanan 1MDB.

1MDB dan empat anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited selaku plaintif berkata demikian dalam jawapan kepada pernyataan pembelaan Jho Low yang difailkan oleh Tetuan Skrine di Mahkamah Tinggi di sini, pada 23 Feb lalu.

1MDB mendakwa Jho Low mempunyai kewajipan fidusiari terhadap plaintif dan pada setiap masa material merupakan pemegang amanah kepada aset kesemua plaintif.

“Pembelaan yang didakwa oleh defendan pertama (Jho Low) bahawa dia tidak pernah mengaku liabiliti dalam prosiding yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, semuanya adalah tidak relevan,” kata 1MDB dalam pernyataan jawapan itu.

1MDB mendakwa Jho Low telah mendapatkan proksinya untuk bekerja dalam 1MDB, termasuk bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil.

“Proksi tersebut memegang jawatan pengurusan kanan utama dalam plaintif pertama (1MDB) antara lainnya untuk memantau pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB, melaksanakan keputusan penting menurut kehendak Jho Low dan Najib bagi memudahkan penggunaan dana plaintif dengan niat penipuan Jho Low dan Najib,” dakwa 1MDB dengan menambah bahawa Najib juga “pengarah bayangan” 1MDB.

Menurut 1MDB, Jho Low telah menerima dana milik plaintif dan beliau mengetahui bahawa dana tersebut milik semua plaintif dan wang tersebut telah dipindahkan kepadanya secara pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari.

“Tindakan (saman) terhadap Jho Low antaranya adalah untuk pemulihan wang amanah kepunyaan semua plaintif yang diterima oleh Jho Low dan beliau mengetahui wang tersebut telah dipindahkan kepadanya secara pecah amanah antara lainnya oleh Najib.

“Oleh itu, defendan pertama (Jho Low) juga adalah pemegang amanah konstruktif plaintif berkait wang yang diterima olehnya,” kata 1MDB.

Selain itu, 1MDB mendakwa setelah dimaklumkan tentang memorandum Ernst & Young bertarikh 26 Mac 2010, Najib, yang ketika itu sebagai pihak pemegang saham tunggal 1MDB, iaitu Menteri Kewangan (Diperbadankan) dengan penglibatan Jho Low, mengarahkan penyingkiran Ernst & Young sebagai juruaudit 1MDB melalui surat bertarikh 16 Ogos 2010.

Menurut 1MDB, tindakan itu adalah untuk menyembunyikan kerugian syarikat itu akibat pelesapan dana secara penipuan dan menghalang siasatan serta penemuan fakta dan bukti material berhubung penipuan tersebut.

“Selain USD700 juta yang telah diterima Jho Low pada 2009, semua wang telah dibayar kepada Jho Low selepas Mac 2010. Oleh itu, ia tidak dapat diterima bahawa kausa-kausa tindakan hanya terakru pada Mac 2010 seperti yang didakwa.

“Dalam apa jua keadaan, tuntutan plaintif adalah termasuk pecah amanah secara penipuan oleh Jho Low dan untuk mendapatkan semula daripadanya harta yang dipegang secara pecah amanah bagi pihak plaintif yang telah ditukarkan untuk kegunaannya sendiri,” menurut 1MDB.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya memfailkan saman terhadap Jho Low, ayah dan ibunya Larry Low Hock Peng dan Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut USD661 juta daripada Jho Low dan masing-masing USD41 juta, USD397 juta, USD608 juta dan USD1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta USD325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut USD630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta USD2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

Plaintif turut menuntut USD3.5 juta daripada May Lin and Jho Low serta USD1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia, selain USD25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

Jho Low dalam pernyataan pembelaannya mendakwa, beliau tidak mempunyai sebarang jawatan atau kewajipan fidusiari dalam 1MDB serta empat anak syarikatnya dan saman itu harus ditolak kerana gagal menyatakan kausa tindakan munasabah berhubung dakwaan pecah amanah atau kewajipan fidusiari.

Jho Low mendakwa beliau tidak pernah menjadi pengarah atau pemegang saham dalam 1MDB atau keempat-empat anak syarikatnya dan juga bukan ahli lembaga penasihat dana kekayaan negara itu atau sebahagian daripada pasukan pengurusan kelima-lima plaintif.

No comments: