Pengumuman Muda untuk meletakkan calon di kerusi KEADILAN DUN
Larkin amat tidak wajar berlaku sekiranya parti itu benar benar mahu bersekutu
bersama Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri Johor.
Menurut Pengarah Pilihan Raya Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Fahmi Zainol, sayap pemuda bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku pertembungan di mana mana kerusi menghadapi Muda menjelang hari penamaan calon.
"Baru sahaja beberapa hari lepas Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam kenyataannya berikrar tidak akan melanggar mana-mana kerusi koalisi blok pembangkang, namun lain pula jadinya apabila beliau bertindak meletakkan calon di DUN Larkin yang mana calon KEADILAN bertanding di sana.
"Pengumuman yang dilakukan Syed Saddiq itu jelas menimbulkan kemarahan akar umbi KEADILAN dan ada juga di antara mereka menuntut untuk KEADILAN meletakkan calon di kerusi DUN Puteri Wangsa dan kerusi lain yang ditandingi oleh Muda.
"Namun begitu sebagai ahli, kami akur dengan apa sahaja percaturan daripada pimpinan tertinggi parti. Selaku pemimpin muda saya menzahirkan rasa kecewa terhadap sikap Syed Saddiq yang menggadaikan muafakat Pakatan Harapan demi cita-cita peribadi beliau," katanya.
Fahmi juga kesal dengan tindakan Muda yang beberapa kali membelakangkan PH seolah olah cuba mewujudkan ketegangan menjelang penamaan calon.
Oleh itu, katanya, AMK telah menjangkakan 'pelanggaran' kerusi berkenaan akan berlaku.
"Kami di AMK Malaysia bersedia dengan jentera pilihan raya di tahap masimum bagi menghadapi sesiapa sahaja walau dilanggar kawan dan lawan.
"Kami di KEADILAN sentiasa berdiri teguh dengan prinsip keadilan dan akan terus bersuara untuk rakyat demi kesejahteraan semua," katanya lagi.