‘Kita tak akan langgar kerusi MUDA’, kata PKR
PETALING JAYA: Selepas berlaku pertembungan kerusi antara MUDA dan PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, parti itu tidak akan mengambil langkah serupa dengan “melanggar” kerusi MUDA bagi menghormati komponen Pakatan Harapan (PH), iaitu Amanah dan DAP.
Beliau berkata, tindakan MUDA mengumumkan calon di Larkin semalam walaupun PKR sudah mengumumkan calonnya terlebih dahulu amat dikesali.
“Saya sedar mungkin tindakan ini diambil kerana kerusi yang dituntut oleh MUDA dalam rundingan tidak dipersetujui oleh PKR. PKR tidak akan mengambil langkah serupa untuk melanggar kerusi MUDA pula kerana menghormati Amanah dan DAP dalam PH.
“Itu tindakan kurang bijaksana malah akan dicemuh oleh pengundi dan rakyat yang sudah muak dengan politik perebutan kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, PKR akan menumpukan usaha membantu calonnya dan calon Amanah serta DAP di Johor, sekiranya MUDA tetap meletakkan calonnya di kerusi yang ditandingi PKR.
“MUDA masih ada masa untuk menimbang semula tindakannya sebelum hari penamaan calon pada 26 Feb.
“Memang benar rakyat yang akan menentukan siapa pilihan mereka tetapi biarlah pertimbangan dibuat atas dasar dan sikap yang betul dalam politik,” katanya sambil menegaskan bahawa PKR akan terus bertanding di kerusinya.
Sebelum ini, PKR mengumumkan akan bertanding di Larkin dengan menamakan Zamil Najwah Arbain sebagai calon.
Rundingan rasmi antara MUDA dan PKR tamat apabila kedua-duanya gagal mencapai kata sepakat berhubung pengagihan kerusi susulan tindakan PKR mengumumkan senarai calonnya di 20 kerusi.
MUDA tidak matang
Sementara itu, dalam sidang media di Johor Bahru, Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir berkata, keputusan MUDA meletakkan calon di Larkin bertentangan dengan pendirian awal yang dibuat Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa ia tidak akan bertanding di kerusi yang ditandingi PKR.
“Parti pimpinan Syed Saddiq ini dangkal dan tidak matang dalam membuat penilaian yang mana kawan dan lawan.
“Walaupun MUDA mempunyai hak demokrasi untuk meletakkan calon di mana-mana kerusiyang mereka inginkan, tetapi Pemuda PKR tertanya-tanya apakah motif sebenar MUDA mahu meletakkan calon di DUN Larkin sedangkan PKR telah menamakan seorang tokoh profesional dan berpengalaman di situ,” katanya.
Beliau berkata, keputusan MUDA untuk bertanding di Larkin juga menyebabkan undi pembangkang berpecah, sekali gus mengelirukan rakyat.
“Walaupuan berdepan risiko pecah undi akibat tindakan MUDA, PKR tetap yakin mampu menawan semula Larkin yang sebelum ini dimenangi oleh PH dalam PRU lalu,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Feb sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pada 12 Mac depan.