Kerajaan Perikatan Nasional Ibarat Retak Menanti Belah

 

1. Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat semalam yang menyelar Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang sekaligus membuktikan kerajaan hari ini ibarat retak menanti belah.


2. Jika dilihat ketika PRN Melaka baru-baru ini juga BN dilihat bertanding secara solo meninggalkan blok kerajaan PN, iaitu PPBM dan PAS. Menurut Mohamad Hassan parti UMNO mempunyai 42 kerusi terbesar dalam Parlimen malah PRN Johor dilakukan kerana kerajaan negeri Johor hari ini tidak mendapat mandat rakyat yang sebenar.


3. Adakah Tok Mat mengesahkan pengkhianatan yang berlaku pada kerajaan PH mengakibatkan suasana politik semasa kucar-kacir? Adakah Tok Mat juga cuba memberitahu Perdana Menteri hari ini tidak mendapat mandat yang sah kerana bukan dipilih oleh rakyat?


4. Kenyataan ahli DUN Rantau ini juga seolah-olah memberi isyarat bahawa PRU15 akan diadakan bila-bila masa untuk memuaskan nafsu serakah orang politik UMNO yang inginkan kuasa mutlak pada diri mereka.


5. Saya fikir Tok Mat lupa landskap politik hari ini berbeza berbanding dahulu. Mungkin idea mereka menginginkan PRN secepat mungkin bagi menawan beberapa negeri sebelum PRU tetapi rakyat juga tidak akan lupa pengkhianatan yang dilakukan oleh PAS bersama UMNO/BN.


6. Ketidaktentuan politik Malaysia hari ini disebabkan ahli-ahli politik yang rakus memikirkan kuasa tanpa memikirkan kebajikan dan keselamatan rakyat. Hanya dengan menghumban ahli politik seperti ini keluar, negara akan lebih aman dan selamat.


Fahmi Zainol

Ketua AMK Pulau Pinang

1 Februari 2022