Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia digesa membawa suara hati
anak muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Hal itu dinyatakan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar
Ibrahim dalam ucapan pelancaran jentera AMK PRN Johor, tengah hari tadi.
Menurut Anwar, menyuarakan suara hati rakyat itu adalah perbezaan
perjuangan parti KEADILAN dan parti parti politik lain di Malaysia.
"Sebab itu bila kita nyatakan suara anak muda, itu bukan
sahaja suara anak muda tetapi sebagai suara hati rakyat, ini meletakkan
perbezaan AMK
"Kita bukan bicara soal percaturan kaum. Kita bicara soal
ekonomi, budaya, mutu pendidikan, peluang kesihatan awam. Ini yang tidak masuk
dalam pertimbangan dan perkiraan parti politik lain.
"Juga isu rakyat, kemiskinan, pengangguran pasca Covid 19 dan
banjir serta jumlah kemiskinan yang bertambah," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, rakyat patut berasa
malu untuk terus membenarkan parti yang melanun negara terus berkuasa.
Namun kebejatan tersebut tidak akan sampai ke pendengaran rakyat,
katanya, sekiranya tidak dikempenkan secara berkesan.
"Tak malukah kita dalam negara kaya ini, kita mengizinkan
kelompok yang dihimpit kemiskinan. Sementara kelompok kecil terus merampok,
balak mereka ambil, minyak dan kontrak mereka sapu?
"Kontrak berbilion dari 1MDB sampai DNG sama sahaja. Pimpinan
silih berganti tetapi perompak, perangai bobrok itu terus melanda rakyat
kita," katanya.
Sehubungan itu, Anwar mahu AMK sentiasa cergas dan menjadi
jurubicara parti di segala ceruk rantau negeri untuk memenangkan Pakatan
Harapan dalam PRN Johor.
"Beza AMK dengan lain lain ialah AMK itu zahir, cergas di
lapangan. Kalau bertanding 20 DUN saya nak lihat barisan anak muda itu di
depan.
"Saya bangga pada hari ini. Persiapannya, latihan, program
dan isu yang diangkat difikir dengan teliti supaya boleh difahami oleh anak
muda dan rakyat.
"Suara anak muda, tetapi menyampaikan hasrat dan hati nurani
rakyat. Isu yang sangat dekat dan mengesankan di kalangan rakyat," katanya
lagi.