PRN JOHOR ‘RAPTAI’ PRU15, INI MASA TERBAIK UMNO MUKTAMADKAN CALON PM

 

Walau apa pun alasan serta tujuan PRN Johor diadakan, matlamat besarnya tidak lain ialah untuk memastikan kemenangan BN dalam PRU15 akan datang.

Untuk itu, oleh kerana PRN Johor boleh dianggap sebagai “reahersal” atau raptai sebelum ketibaan PRU15, keputusan yang harus dicapai BN bukan sekadar untuk menang cemerlang, tetapi juga perlu menampakkan UMNO sebagai parti yang ada masa depan untuk mentadbir negara ini.

Untuk UMNO dan BN dilihat sebagai parti yang ada masa depan, mahu tidak mahu, prasyarat pentingnya ia mesti tidak menyembunyikan siapa calon Perdana Menterinya.

Sementara PH tetap menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dan PN mahu menonjolkan Mahiaddin Md Yasin sekali lagi sebagai Perdana Menteri, malangnya UMNO sehingga kini masih tidak berani menamakan siapa calon Perdana Menterinya.

Lebih malang lagi sikap UMNO itu ialah kerana sementara Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden UMNO sendiri sudah berada di atas kerusi Perdana Menteri, ia masih lagi berahsia siapa calon Perdana Menterinya selepas PRU15 akan datang.

Tidakkah ini sebenarnya amat pelik?

Bukankah oleh kerana Ismail Sabri sudah berada di kerusi tersebut, manakala Presiden UMNO, Zahid Hamidi masih perlu membela diri atas 47 pertuduhan rasuah di mahkamah, Timbalan Presiden, Mohamad Hasan pula bukan merupakan Ahli Parlimen, malah mempunyai rekod menyebabkan Negeri Sembilan jatuh ke tangan PH dalam PRU14 lalu, begitu juga dengan bekas Perdana Menteri, Najib Razak sudah disabitkan bersalah dan entah bila kes rayuannya di Mahkamah Persekutuan akan didengar, satu-satunya calon yang UMNO tidak harus ragu-ragu menonjolkannya ialah tidak lain selain Ahli Parlimen Bera yang merupakan Perdana Menteri sedia ada?

Jika bukan Ismail Sabri, UMNO mahu siapa lagi?

Dalam hal ini, memandangkan tarikh akhir PRU15 harus diadakan selewat-lewatnya pada Mei 2023, bermakna UMNO tidak punya banyak masa lagi untuk berdepan dengannya.

Dengan tempoh masa yang boleh dikira relatif singkat itu, PRN Johor hendaklah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh UMNO sebagai gambaran keinginan menuju kemenangan dalam PRU15.

Untuk itu, UMNO seharusnya tidak berlengah lagi untuk menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri, seterusnya memberikan beliau lebih peranan dalam PRN Johor ini.

PRN tidaklah sama dengan PRK di mana biasanya Perdana Menteri tidak terlibat dalam banyak perkara berkaitannya.

Lebih-lebih lagi disebabkan PRN Johor ini merupakan penanda aras penting dan “reahersal” sebelum ketibaan PRU15, keberadaan serta penglibatan Perdana Menteri tidak boleh dipandang sepi atau diabaikan begitu saja.

Jika BN kalah, ia tentu saja akan merencatkan perjalanan menuju kemenangan yang selesa dalam PRU15 akan datang, tetapi jika menang sekali pun, namun tanpa ada calon Perdana Menteri yang ditonjolkan, kemenangan itu tidak pula memberi apa-apa makna.

Sebaliknya kemenangan itu nanti akan terus menyebabkan teka-teki di kalangan rakyat dan kepada ahli serta penyokong UMNO sendiri.

Tambah buruk lagi jika di sebalik teka-teki yang tiada jawapan itu,diselitkan pula dengan gambaran seolah-olah Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang ada kes mahkamah atau Najib yang sudah disabitkan bersalah atau Mohamad Hasan yang tiada apa-apa kedudukan di Parlimen serta negerinya sendiri jatuh ke tangan pembangkang, turut diletakkan sama sebagai calon Perdana Menteri?

Adakah membiarkan keadaan itu berterusan lebih mampu memberi keyakinan kepada rakyat untuk mengundi BN atau segera menamakan Ismail Sabri yang sudah sedia sebagai Perdana Menteri sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15, berupaya memberi lebih keyakinan untuk UMNO dipilih menerajui kerajaan?

Kepada pimpinan UMNO – tepuk dada tanyalah selera!! – ShahbudinHusin 05/02/2022.