KENYATAAN MEDIA :KERAJAAN PERLU SITA RUMAH USD10 JUTA-




KENYATAAN MEDIA

23 Februari 2022

KERAJAAN PERLU SITA RUMAH USD10 JUTA BEKAS KEKASIH LEISSNER 1MDB

Hari ini kita dikejutkan berita kenyataan yang dibuat bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner bahawa beliau telah menggunakan USD10 juta (RM41.8 juta) wang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk membeli sebuah rumah di London untuk kekasihnya pada 2013, Rohana Rozhan.

Hal ini telah disebut dalam keterangan yang Leissner berikan di mahkamah New York semalam.

Pengakuan Leissner ini perlu disiasat segera oleh Polis Diraja Malaysia, dan Peguam Negara serta Kerajaan Malaysia, perlu mengambil tindakan undang-undang termasuk dengan menyita rumah tersebut atau menyaman pemilik rumah tersebut. Jika benar dana 1MDB telah disalahguna untuk membeli rumah buat Rohana, maka rumah atau wang tersebut wajib dikembalikan kepada rakyat.

Setakat pertengahan 2021, 1MDB telah “menghadiahkan” rakyat Malaysia dengan hutang berjumlah RM32 bilion. Tidak boleh dinafikan lagi bahawa 1MDB adalah antara hasil terbesar “kestabilan” lebih enam dekad pemerintahan yang hanya “memakmurkan” kelompok, kroni, dan kekasih tertentu, dan bukannya rakyat secara keseluruhannya.

Fahmi Fadzil

Ahli Parlimen Lembah Pantai

Pengarah Komunikasi KEADILAN