Pengundi Johor perlu melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Negeri
(PRN) 12 Mac ini memandangkan kerajaan BN tidak peduli dengan kesusahan rakyat
bawahan.
Menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan BN
sangat sukar untuk menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500
sedangkan syarikat syarikat besar di negara ini untung berbilion ringgit.
"Gaji minimum RM1,500 pun susah. Apa jawab PM, gaji minima
saya dah tanya ketua ketua syarikat dan mereka tidak setuju. Syarikat untung
berbilion. Tapi nak bagi gaji minimum wang tak ada?
"Pemimpin cakap bagi pihak siapa? Tauke atau rakyat? Balak
setahun RM8 bilion apa yang rakyat dapat?
"Ini yang kita marah. Sebab apa nak sokong Haniff Hosman
(calon DUN Benut) kerana dia wakili pandangan ini. Membela nasib rakyat bukan
minta projek, tanah," katanya dalam majlis santai bersama rakyat di DUN
Benut, malam tadi.
Pengerusi Pakatan Harapan itu juga menggesa agar rakyat Johor
memikirkan kehidupan mereka di dalam negeri yang antara termaju di Malaysia
namun kehidupan rakyatnya tidak semaju mana.
"PRN ini untuk kita putuskan masa depan negeri. Negeri ini
kaya tetapi kalau dilihat kedudukan rakyat tak banyak berubah. Yang berubah itu
pimpinan, kekayaan mereka. Ada jurang luas antara kaya dan miskin. Bila merdeka
sepatutnya jurang itu dikurangkan
"Tetapi jurang itu lebih melebar. Di Parlimen saya bangkit
Pandora Papers. Apa dia? Pemimpin negara ini simpan wang ratusan juta di luar.
Saya kata siasatlah, sampai sekarang tak siasat kerana tak berani. Oleh itu
rakyat yang harus bangkit dan tentukan. Bukan harap pemimpin," katanya.
Anwar turut menolak pendapat popular mengatakan Benut kubu kebal
Umno dan tiada apa yang boleh diusahakan untuk mengubah fikiran pengundi.
Katanya, generasi muda perlu berubah fikiran.
"Ada kata tak boleh (berubah) kubu Umno tetapi Permatang Pauh
dulu pun kubu Umno. Bukan baru dari 1999 sampai sekarang (milik KEADILAN).
Sebab apa kubu Umno, saya ketua Umno di situ. Tetapi rakyat boleh fikir.
"Datuk Onn dulu pun keluar Umno, Melayu tak hilang. Kita
harap ada perubahan terutama golongan muda. Tolong terang kepada rakyat bahawa
rakyat perlu bangkit," katanya lagi.