KUNO BETUL HADI :



 


Balik-balik DAP juga yang salah

Pada 4 Mei 2014, Pemuda MCA bersama sekumpulan mewakili NGO dengan diketuai oleh Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan ketika itu Tan Kok Eng telah mengadakan satu demonstrasi di hadapan ibu pejabat Pas membantah
rancangan parti itu membentangkan rang undang-undang persendirian mengenai hudud.

Penulis tidak pasti adakah pada masa itu Presiden Pas menyalahkan DAP atau tidak kerana MCA membantah pembentangan RUU persendirian hudud itu.

Berikutan dengan itu juga, Ketua Pemuda MIC C Sivarraajh mendakwa undang-undang hudud yang mahu dilaksanakan oleh Pas adalah undang-undang kuno yang cadangannya perlu ditentang oleh semua Ahli Parlimen. Adakah pada masa itu DAP juga dipersalahkan?

Inilah keajaiban yang berlaku dalam Pas, apabila tidak dapat menghujah dengan rasional dan berfakta akan sesuatu perkara, yang menjadi mangsa tudingan mereka adala ‘ratib salah DAP’ 33x, ‘ratib sebab DAP’ 33x dan ‘ratib ciptaan DAP’ 33x.

Kini mereka bersama kerajaan yang turut disertai oleh MCA dan MIC, maka mungkin mereka sama-sama meratib dalam satu majlis meratib yang sama!

Inilah yang keajaiban Presiden Pas dan mereka yang bersama dengannya. Mangsa terikini Presiden Pas dengan hujah yang amat cetek dan tidak berfakta adalah cubaan untuk meremehkan dan melunyaikan Parti Ikatan Demokratik Malaysia atau Malaysian United Democratic Alliance (MUDA).

Beliau menyatakan seperti mana tohmahan terdahulu terhadap Parti AMANAH Negara di awal penubuhannya, bahawa MUDA adalah ciptaan DAP untuk mengumpan pengundi Melayu. DAP juga yang salah!

Entah apalah minda Presiden Pas yang sangat kabur, cetek dan jauh sekali dari budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) yang pernah menjadi slogan ciptaan Pas.

Minda senget dan tumpul sebegini bukan akan membangun ummah tetapi akan mengorbankan ribuan jiwa anak-muda yang mahukan perubahan dan bergerak kehadapan di persada politik negara. Mereka harus digalakkan dan diberikan sinergi untuk membina jati-diri sebagai pemimpin masa hadapan. Kepimpinan itu juga tidak semestinya lahir dari Pas.

Balik-balik DAP juga yang salah

Politik matang dan sejahtera harus berlandaskan kepada politik sihat dan keterbukaan. Apalah salah MUDA untuk dikaitkan sebagai lahir dari rahim DAP dalam politik negara.

Mereka harus dibimbing dan diberi peluang langkah pertama untuk masuk gelanggang. Gelanggang itu mestilah yang adil, saksama dan jauh dari budaya hasutan buruk seperti yang diketengahkan oleh minda senget dan tumpul Presiden Pas.

Daripada mana pula lahirnya kesepakatan Pas dalam Perikatan Nasional setelah bersusah-payah memberikan penerangan untuk meyakinkan ahli mengenai kesepakatan dalam Muafakat Nasional bersama Umno! Bercucuran air mata Tan Sri Annuar Musa, SU Agong Umno ketika itu kerana kejayaan mengikat tali pertunangan antara Umno-Pas.

Namun belum lagi sempat menikah, tidak ketahuan mana arah pengantin perempuan dan pengantin lelaki! Adakah kerana kuasa yang dapat membuncitkan poket dengan gaji puluhan ribu, kereta rasmi Vellfire dan kedudukan dalam tahta kekuasaan, maka pertunangan perlu dirungkai.

Mana dia janji-janji menegakkan Islam, membangun bersama Islam, pembentangan RUU Hudud. Adakah kerana kini makan setalam dan tidur sebantal dengan MIC dan MCA, maka kecapilah hidangan yang ada dahulu.

Adakah DAP juga yang salah kerana tidak dapat melancarkan janji-janji manis untuk menegakkan Islam di bumi Malaysia?

Bersama Perikatan Nasional (PN) yang terdiri dari golongan pengkhianat dan pemecah kesatuan kerajaan yang memenangi pilihanraya, adakah ini juga telah menjadi halal dan suci?

Angkara DAP jugakah perbuatan merungkai pertunangan pertama dengan menerima suntingan mempelai baharu dan terus berijab-kabul. Ini semua angkara DAP!

Begitulah ceteknya pemikiran seorang pemimpin yang ketandusan modal, kecetekan hujah dan kedangkalan idea untuk mematah hujahan dan menilai suasana semasa. Sedangkan politik matang adalah politik bermaklumat dan didokong oleh fakta yang sahih dan berkredibiliti.

Mematah hujah pesaing dan juga menilai perkembangan semasa seharusnya dalam suasana serba bermaklumat dan data-raya nya (big data) hendaklah kukuh, boleh dipertahankan dan berpaksikan kebenaran. Hujah mempersalah dan memandang rendah terhadap kebolehan pesaing kita adalah amalan kolot, cetek, otak senget dan mundur.

Masyarakat Malaysia, marilah kita membuka minda dan menilai kata-kata sumbang pemimpin yang bertopeng jubah dan serban. Mereka hanya mampu menuding jari, hakikatnya mereka miskin akhlak, tumpul idea dan sempit akal serta hujah.

Masyarakat Malaysia, ingatlah pengkhianatan yang telah berlaku. Pengkhianatan terhadap mandat rakyat dan pendustaan kepada anda dalam janji-janji mereka untuk memimpin dengan penuh kejujuran dan membawa negara kearah reformasi total dari sudut tadbir urus, governan baik, kesaksamaan dan disamping mempertahan kedaulatan negara dengan Raja Berpelembagaan.

Mereka pengkhianat amanah rakyat dalam Pilihanraya ke 14, pengkhianat yang tamak kekuasaan dan sanggup
bersekongkol dengan parasit-parasit yang telah merosakkan negara selama lebih 60 tahun.

Akhirnya buat masyarakat Malaysia, para pengkhianat dan mereka-mereka yang menghulur perpaduan demi kuasa kepada parasit khianat mandat rakyat ini akan sebuah hadith Nabi SAW yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim;

Daripada Abdullah Ibn Mas’us R.A dari Nabi S.A.W , baginda bersabda “Untuk setiap orang yang berkhianat akan diberikan sebuah panji pada hari kiamat yang bertuliskan “Inilah pengkhianatan si fulan” .

Mungkin kamu boleh menyembunyikan khianat kamu dengan perlbagai helah dan alasan didunia, tetapi kamu tidak akan boleh lari dari membawa panji yang berlambangkan “Inilah Pengkhianatan Kami YB sekian dan sekian”. Semua itu bukan salah dan kehendak DAP!


Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan.

Penafian: Penulisan ini merupakan pendapat penulis dan tiada kaitan dengan pendirian akademi