KENYATAAN MEDIA
23 Februari 2022
KERAJAAN PERLU SITA RUMAH USD10 JUTA BEKAS KEKASIH LEISSNER 1MDB
Hari ini kita dikejutkan berita kenyataan yang dibuat bekas
pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner bahawa beliau telah menggunakan USD10
juta (RM41.8 juta) wang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk membeli sebuah
rumah di London untuk kekasihnya pada 2013, Rohana Rozhan.
Hal ini telah disebut dalam keterangan yang Leissner berikan di
mahkamah New York semalam.
Pengakuan Leissner ini perlu disiasat segera oleh Polis Diraja
Malaysia, dan Peguam Negara serta Kerajaan Malaysia, perlu mengambil tindakan
undang-undang termasuk dengan menyita rumah tersebut atau menyaman pemilik
rumah tersebut. Jika benar dana 1MDB telah disalahguna untuk membeli rumah buat
Rohana, maka rumah atau wang tersebut wajib dikembalikan kepada rakyat.
Setakat pertengahan 2021, 1MDB telah “menghadiahkan” rakyat
Malaysia dengan hutang berjumlah RM32 bilion. Tidak boleh dinafikan lagi bahawa
1MDB adalah antara hasil terbesar “kestabilan” lebih enam dekad pemerintahan
yang hanya “memakmurkan” kelompok, kroni, dan kekasih tertentu, dan bukannya
rakyat secara keseluruhannya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Pengarah Komunikasi KEADILAN