Dr Maszlee seru pengundi Johor di Singapura daftar undi pos




Menjelang tarikh tutup pendaftaran undi pos bagi bangsa Johor yang bekerja di luar negara pada 18 Februari ini, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menyeru agar mereka segera mendaftar untuk mengundi secara pos.


Dalam video pendek di akaun media sosial beliau, Dr Maszlee yang bakal bertanding di DUN Layang Layang berpesan kepada pengundi yang layak membuang undi untuk mendaftar bagi menentukan masa hadapan pemerintahan Johor.


"Kepada rakyat Johor, para pengundi yang duduk di luar negara, di Singapura atau di mana sahaja, jangan lupa untuk mendaftar sebagai pengundi pos di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


"Kita hanya ada 4 hari sahaja lagi. Pastikan suara anda, pilihan anda didengari dan mencorakkan masa hadapan Johor untuk lima tahun akan datang. Lawat laman SPR," katanya.


Undi pos boleh didaftar dengan membuka pautan laman web SPR: myspr.spr.gov.my