Wakil Rakyat PH tak turun padang bantu rakyat ketika banjir akan digugurkan sebagai calon PRU – Anwar

 

Wakil Rakyat PH tak turun padang bantu rakyat ketika banjir akan digugurkan sebagai calon PRU – Anwar


Ramai menteri didapati “hilang” semasa banjir dan lari daripada tanggungjawab membantu rakyat yang terkesan, kata Anwar Ibrahim ketika menempelak dakwaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa wakil rakyat pembangkang tidak turun padang semasa bencana itu.

Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang itu memberitahu Parlimen, walaupun Ismail sendiri turun padang ketika banjir, kalangan Jemaah Menteri bertindak sebaliknya.

“Banyak menteri hilang, tidak dilihat di lapangan. Ada yang memilih untuk menjalani umrah, rakyat mati, rumah hanyut dan kita pilih untuk melaksanakan umrah. Ini perlu diperbetulkan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Walaupun pergi sebelum (banjir), balik segeralah apabila banjir melanda dan tunaikan tanggungjawab anda sebagai menteri. Saya bercakap tentang keutamaan di sini,” katanya.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man, yang telah pergi menunaikan umrah bulan lepas, kemudian bangkit dan berkata beliau akan memberi penjelasan.

“Saya akan menjelaskan sendiri kemudian untuk membolehkan semua orang memahami keadaan,” katanya.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim kemudian diasak pula dengan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) dengan berkata bahawa Menteri sepertinya patut dipecat.

“Menteri seperti ini patut dipecat,” kata Mohamad.

Sementara itu, Anwar mengakui terdapat beberapa Ahli Parlimen atau ADUN pembangkang yang tidak hadir untuk membantu rakyat yang terjejas banjir.

Berikutan itu, katanya, beliau akan menggugurkan mereka daripada Pakatan Harapan sebagai calon pada pilihan raya akan datang.

“Di bawah kelolaan saya nak beri jaminan saya akan pantau sama ada mereka turun atau tidak ke kelapangan, kalau prestasinya lemah ketika banjir, saya beri jaminan orang itu digugurkan sebagai calon untuk pilihan raya akan datang.”

Ini mendorong Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mempersoal Anwar sama ada Khalid Samad (PH-Shah Alam) akan digugurkan sebagai calon pada PRU15 kerana beliau didakwa ‘hilang’ semasa banjir.

Terdahulu, Ismail berkata beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam ketika musibah melanda untuk membantu mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS.

“Saya tidak tahu, berapa ramai Ahli Parlimen dan ADUN hilang ketika itu. Saya tak tahu rakan-rakan lain (di mana), saya tak nampak mereka bekerja waktu malam itu,” katanya yang mencetuskan bantahan daripada wakil rakyat pembangkang.

No comments: