Dewan Rakyat menolak membahaskan isu pemilikan saham Ketua
Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki
pada sidang khas hari ini.
Penolakan itu dibuat oleh Speaker selepas Ahli Parlimen Pakatan
Harapan (PH) meminta agar isu Azam Baki dibahas bersekali isu banjir yang
melanda negara pada pertengahan Disember 2021 lalu.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Datuk Seri Salahuddin Ayob (PH- Pulai)
memohon agar Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar memberi
izin isu integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM dibahas pada sebelah petang.
"Saya hantar notis usul 18 (1), saya faham kandungan itu yang
diberi kepada saya (penolakan), tetapi di sini ada PM dan hak PM untuk
mengizinkan satu tajuk diperbahas pada persidangan kali ini.
"Saya tidak menafikan banjir di negara kita tetapi isu yang
mendatang adalah isu integriti, satu isu yang melibatkan pejawat awam, Ketua
Pesuruhjaya SPRM. Jika usul ini diterima hanya satu jam nanti, pukul 4.30
petang, apa salahnya isu ini kita perdebatkan. Ia sama penting, kita boleh
bahas dengan isu banjir bersekali," katanya.
Namun Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Harun berkata, Perdana
Menteri yang memanggil masyuarat khas tersebut dan beliau tidak memberi izin
penambahan agenda dilakukan.
"Saya akui terima usul dua hari lepas dan saya menjawab,
sidang khas dipanggil di bawah kuasa mutlak PM. Mengikut peraturan tersebut
agenda sidang khas adalah di bawah kuasa mutlak beliau dan beliau menyusun
atur.
"Saya tidak ada kuasa menerima usul tersebut. Agenda
ditetapkan oleh PM. Sehingga hari ini saya tidak terima notis dari PM bagi usul
tersebut (dibenarkan). Jadi kita menjalankan mesyuarat ikut urusan mesyuarat.
"PM tidak berniat katakan apa apa," katanya lagi.