1. Isu utama pada hemat saya bukannya berkaitan isu-isu teknikal sepertimana yang banyak dibicarakan oleh para netizen, sebaliknya isu kerahsiaan (privacy) dan keselamatan siber (cyber security).
2. Syarikat saya bekerja pernah cuba untuk menggunakan teknologi ini (pilot project) di pintu pagar utama untuk membuka palang serta merekodkan masa keluar masuk staf, tapi akhirnya ia tidak diteruskan disebabkan isu polisi keselamatan.
3. Benar, dengan sistem kad Touch and Go sebelum ini maklumat yang sama juga direkodkan, namun penggunaan gelombang radio sebenarnya memudahkan interception (pintasan) data dilakukan oleh pihak-pihak yang berniat jahat.
4. Mungkin ramai tertanya-tanya apa pula bezanya RFID dengan sistem Smart TAG yang telah lama digunakan sebelum ini? Untuk maklumat, Smart TAG menggunakan gelombang infra-red iaitu gelombang radiasi elektromagnetik yang biasanya dihasilkan oleh haba (thermal). Contoh peralatan lain yang menggunakan gelombang infra-red dalam kehidupan harian kita ialah remote control dan pelbagai peralatan perubatan (medical) yang lebih canggih.
5. Manakala RFID pula menggunakan gelombang radio yang jauh lebih panjang gelombangnya (longer wavelength) dari infra-red dalam skala spektrum elektromagnetik. Ini adalah kelebihan utama RFID berbanding Smart TAG kerana gelombang radio boleh bergerak lebih jauh dan tidak memerlukan jarak lurus (line-of-sight) untuk berfungsi atau dikesan.
6. Contoh peralatan lain yang menggunakan gelombang radio dalam kehidupan harian kita ialah telefon pintar, internet, TV, sistem penggera keselamatan serta sistem siaran radio itu sendiri (AM dan FM). Selain itu ia juga banyak digunakan oleh sistem komunikasi kapal terbang dan kapal laut.
7. Persoalannya, jika teknologi gelombang radio yang digunakan oleh RFID lebih baik, kenapa ramai menghadapi masalah palang di tol lambat terbuka dan kadangkala langsung tidak terbuka (gagal dikesan)?
8. Secara jujur saya tiada jawapan yang tuntas. Namun agakan saya ia disebabkan kualiti serta lokasi alat pengesan (detector) yang digunakan. Pengalaman peribadi saya, palang dibuka terlalu lambat sehingga kereta telah begitu hampir dengan palang.
9. Solusi mudahnya ialah meletakkan detector lebih ke hadapan dan jauh dari palang, namun harus diingat gelombang radio boleh bergerak jauh dan dikesan walaupun ada halangan. Jika diletak terlalu hadapan, masa dan tempoh palang terbuka juga perlu diset tepat untuk kereta di belakang melepasi palang dengan selamat.
10. Sudut (angle) detector diletakkan juga memainkan peranan bagi membolehkan hanya satu gelombang RFID yang terkuat dikesan pada satu-satu masa. Kegagalan design dan setting teknikal seperti inilah mungkin merupakan faktor penyebab isu yang dihadapi kebanyakan pengguna tol hari ini.
11. Saya mencadangkan sistem e-wallet yang membenarkan kredit/hutang direkacipta supaya kereta yang kehabisan baki tidak tersangkut dan menyebabkan kesesakan. Ia juga harus diintegrasikan dengan solusi
terbaik
yang telah lama digunapakai di negara-negara maju lain iaitu high speed RFID detector yang tidak memerlukan palang dan rumah tol, kereta tidak perlu diperlahankan dan seterusnya mampu mengelakkan kesesakan secara total.12. Selain itu, cip frekuensi radio yang dipasang dalam pelekat RFID sudah tentu terdedah kepada panas dan hujan, kemungkinan boleh bertahan selama hanya beberapa tahun (mengikut maklumat 5 tahun). Satu konsep pelan pemasangan dan bahan (material) pelekat yang lestari serta tahan lasak perlu difikirkan untuk jangkamasa panjang.
13. Pelekat yang ditampal di bahagian luar kereta juga akan terdedah kepada kecurian, vandalisme dan sabotaj. Walaupun ia dikatakan akan rosak jika dicabut (dan tidak akan boleh digunakan oleh pencuri), namun pada pandangan saya kreativiti pihak yang berniat jahat tidak boleh kita pandang enteng.
14. Secara keseluruhan saya amat kecewa dengan kelemahan-kelemahan yang begitu ketara walaupun sistem ini telah dikaji dan diuji sekian lama.
15. Kita sebenarnya tidak memerlukan teknologi RFID, cukup sekadar satu sistem yang membolehkan baki kad Touch and Go ditambah melalui e-wallet. Dalam kes ini, kegagalan para jurutera menyelesaikan satu masalah mudah menyebabkan satu solusi yang tidak lestari dilahirkan!
Ir Ts Lukman Hakim
Setiausaha Agung
Parti BERJASA