APA PAS INGAT POLITIK MACAM POLIGAMI KE?

 

Selain hairan, kita juga kadang-kadang pening melihat gelagat dan karenah Pas dalam langkah politiknya.

Dalam PRN Johor yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi misalnya, sementara UMNO begitu ghairah untuk bertanding solo atas tiket BN sebagaimana di Melaka dahulu, Pas sebaliknya tetap berusaha untuk berunding bagi bekerjasama dengan parti itu.

Walhal, Pas adalah ahli rasmi gabungan Perikatan Nasional atau PN yang diketuai oleh Bersatu dan dipimpin oleh Mahiaddin Md Yasin.

Bersatu sebagaimana kita semua tahu adalah musuh utama UMNO dan sedang cuba dimatikan pengaruhnya melalui PRN Johor ini.

Hubungan Pas dengan UMNO hanyalah sekadar bermesra cium-cium pipi saja melalui Muafakat Nasional atau MN tetapi ia tidak pernah sama sekali dinikahkan secara sah.

PN pula adalah gabungan yang telah didaftarkan secara sah dan Pas ibarat ada ikatan rasmi dengan Bersatu melalui gabungan tersebut.

Soalnya, kenapa Pas masih tergila-gila mahu bersama dengan UMNO?

Masih tak faham bahasakah bahawa UMNO mahu bertanding solo?

Kenapa Pas tidak mengutamakan hubungannya dengan Bersatu yang sedia ada melalui PN, sebaliknya masih sibuk mencari peluang kerjasama dengan UMNO?

Dalam keadaan UMNO sentiasa mahu mematikan Bersatu dan Bersatu pula adalah musuh UMNO, Pas sebagai ahli rasmi gabungan PN yang ada Bersatu didalamnya tidak harus sama sekali cuba berbaik-baik, apa lagi bekerjasama dengan UMNO.

Pas sepatutnya sentiasa memihak kepada Bersatu kerana parti pimpinan Mahiaddin Md Yasin itulah rakan sah yang mereka ada ikatan rasmi dengannya.

Bukankah pelik, dengan Bersatu yang ada ikatan rasmi tak dipeduli, tetapi dengan UMNO yang tiada ikatan apa-apa yang membuatkan Pas serabut kepala untuk bersama?

Dalam hal ini, jika Pas benar-benar jujur ingin bersama UMNO, mereka mesti berperlakuan betul dengan berani meninggalkan Bersatu dan keluar daripada PN terlebih dahulu.

Jika setelah tidak lagi bersama PN dan tiada apa-apa ikatan dengan Bersatu, barulah nampak munasabah kalau ia pun bersungguh-sungguh mahu menjalin kerjasama dengan UMNO.

UMNO pun, jika Pas tiada lagi dalam PN dan tidak terikat dengan Bersatu, pasti lebih terbuka untuk berunding bagi menjalin sebarang kerjasama.

Ini tidak, dengan Bersatu mahu dan dengan UMNO juga mereka mahu.

Apa Pas ingat politik ini macam poligami ke? – ShahbudinHusin 27/01/2022.