DEWAN
Undangan Negeri (DUN) Johor telah pun dibubarkan. Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) akan bermesyuarat bagi menentukan tarikh pilihan raya pada minggu pertama
bulan depan. Tampaknya SPR tidak begitu "gaduh lorak" untuk
mengadakan mesyuarat bagi membincang perihal Pirane Johor itu. Kelambatan ini
menyebabkan timbul persoalan, apakah Pirane Johor akan diadakan serentak dengan
Piraum ke-15?
Yang pastinya pembubaran DUN Johor itu tidak disenangi oleh
parti pembangkang dan juga parti dalam gabungan kerajaan di Johor
Bersatu, Bersatu. Pembangkang memberi alasan tidak ada keperluan
untuk diadakan pilihan raya, kerana kerajaan Johor tidak menghadapi cabaran dan
berjalan dengan baik. Selain itu pandemik Covid tidak sesuai untuk diadakan
pilihan raya.
Bersatu pula melahirkan rasa terkilan dengan pembubaran DUN
Johor kerana tidak dibincang sama dengan mereka. Sebagai kerajaan bersama,
sewajarnya Umno memanggil Bersatu bincang hal pembubaran itu. Di sini nampak
Umno membelakangkan Bersatu dan pembubaran itu ada niat tidak baik, semacam
mahu mengajar Bersatu.
Sementara di pihak Umno pula mengambil kesempatan atas kedudukan
kerajaannya 28 : 27 untuk mengadakan pilihan raya kerana bimbang kerajaannya
akan tumbang. Umno mahu menghadapi pilihan raya semasa ia menjadi
kerajaan.
Itu hanya alasan sahaja, kerana pembangkang (PH) sudah beri
komitmen tidak akan ganggu kerajaan Johor kerana berbagai sebab. Antaranya
kerana pandemik masih belum kendur dan masalah ekonomi masih tidak menentu di
samping kesan banjir masih menjejaskan kehidupan rakyat. Pembangkang sendiri
pun dalam situasi bergelora dan bercanggah pendapat sesama sendiri dalam mencari
formula, tidak yakin dapat mengulang kejayaan dalam pilihan raya lalu. Baginya
kalau tidak diadakan pilihan raya lagi baik.
Semestinya Umno telah mengambil semangat kemenangannya di Melaka
dan kegagalan pembangkang di Sarawak untuk mengadakan pilihan raya. Dari
hitungan politiknya, jika diadakan pilihan raya, Johor mereka berjaya
menawannya. Alasan dan keyakinan itulah mendorong agar DUN Johor dibubarkan
dalam keadaan ia konfiden menang.
Tetapi apakah pilihan raya Johor akan diadakan dalam tempoh 60
hari atau akan dijalankan serentak dengan pilihan raya umum? Ia masih menjadi
tanda tanya. Ada sebahagian pendapat pirane Johor akan
diadaan serentak dengan Piraum ke-15?
Persiapan pembangkang.
Dalam pada itu pembangkang (PH) sudah pun membuat persiapan sepatutnya
bagi menghadapi kemungkinan Pirane Johor. Misalnya pembahagian kerusi khabarnya
sudah pun selesai. Tiga buah parti pembangkang utama dalam PH, sudah berbincang
antara satu sama lain. Dan sepakat menerima keputusan.
Dalam pembahagian itu dipersetujui Keadilan dan Amanah
masing-masing diperuntukan 20 kerusi sementara DAP 16 kerusi.
Pembahagian itu dikira adil dan saksama. Tidak ada apa yang perlu diogehkan
(dipertikaikan) lagi.
Cuma apa yang bunyi kurang baik apabila PH tidak akan
menggunakan logo PH dalam pilihan raya itu. Keadilan akan menggunakan logonya
sendiri, Mata. Sementara DAP dan Amanah pula tetap akan menggunakan
logo PH seperti mana di Melaka. DAP dan Amanah kurang setuju dengan keputusan
Keadilan itu. Jadi soal penggunaan logo ini menjadi masalah sedikit buat
pembangkang. Perbezaan ini menyebabkan umum melihat PH tidak sekata.
Sebenarnya perkara ini tidak perlu didebatkan. Sebaliknya semua
parti diberikan kebebasan untuk menggunakan apa sahaja logo yang mereka fikir
sesuai dan boleh mempengaruhi rakyat. Yang penting menang. Kalau logo cap ayam
boleh membawa kemenangan, boleh gunakan logo cap ayam sahaja. Makanya kalau
Keadilan hendak gunakan logo Mata silakan. Parti itu ada alasan sendiri kenapa
perlu menggunakan logo tersebut. Jangan soal logo dijadikan titik bengik untuk
bergaduh.
Kekalahan di Melaka sehingga tidak mendapat satu kerusi mungkin
menjadi sebab kenapa Keadilan bergagah dan phobia untuk menggunakan simbol PH,
dan mahu menggunakan logonya. Dalam Pirane Melaka Keadilan bertanding
menggunakan logo PH, yang tidak ada apa-apa "simbol" (objek) dan
hanya tulisan perkataan HARAPAN semata-mata,
parti itu gagal mendapat sebarang kerusi.
Berbeza dengan Amanah dan DAP. Tampaknya logo PH tidak menjadi
dan dikira bermasalah kepada kedua parti itu. Amanah walaupun tidak berjaya
mempertahankan jumlah kerusi diperolehi dalam Piraum ke-14, tetapi ada juga
satu kerusi dimenangi. Begitu juga dengan DAP. Ertinya lambang PH masih membawa
tuah kepada kedua parti itu. Tetapi menjadikan kecelakaan buat Keadilan.
Lantaran itu eloklah Amanah bermuafakat dengan DAP menggunakan logo
berkenaan.
Justeru kalau Keadilan enggan menggunakan lambang PH dan berkeras
untuk menggunakan lambangnya, biarkan. Semua pihak kena akur dan tidak perlu
membuat spekulasi liar. Itu adalah hak asasi dan kebebasan demokrasi. Lagipun
tidak ada syarat terikat dan diikat parti dalam PH wajib menggunakan logo PH
tersebut harApan dengan huruf "A" dibesarkan sebagai roket.
Bagi kita soal simbol tidak penting dan itu pilihan
masing-masing. Apa yang penting, pembangkang khasnya Keadilan, DAP dan Amanah
jangan bergelut dalam kubang yang sama. Jangan ada yang bertanding antara satu
sama lain dalam kerusi sama. Elakan ini berlaku. Dalam 20 kawasan ditandingi
Keadilan jangan ada calon Amanah atau mana-mana parti pembangkang lain yang
masuk mencelah. Begitu juga dengan Keadilan jangan ganggu dan meletak calon di
kerusi lain melainkan di 20 kerusi yang ditetapkan sahaja.
Khabarnya ada yang hendak mendirikan khemah besar dalam pilihan
raya di Johor itu dengan membawa semua parti-parti pembangkang bersatu. Idea
itu walaupun tidak melambangkan semangat PH dan cuba merosakan idea serta
ukhwah PH sebelum ini, tetapi ia juga satu percubaan yang baik. Boleh sahaja
membuka khemah besar asalkan jangan menggali kubur besar. Kita bimbang kalau
gali kubur besar nanti akan dikuburkan dalam satu lahad. Jangan mati
beramai-ramai, hidup berasingan.
Khemah besar ini akan membawa parti-parti pembangkang
lain, Pejuang, Muda, Warisan. DAP dan Amanah kelihatan beriya
dengan khemah besar ini. Keadilan tidak perlu gundah dan gusar. Benar dan
izinkan. Cuma apakah yang perlu difikirkan dan menjadi persoalan, di kerusi
manakah parti-parti kuping itu hendak bertanding. Kerusi di Johor hanya ada 56
sahaja.
Untuk meraikan parti-parti itu demi membuka khemah besar, DAP
dan Amanah perlu berkorban. Mereka boleh berikan kerusi mereka kepada
parti-parti itu. Disebabkan mereka beriya untuk membuka khemah besar dan
meragui keupayaan PH, maka elok kalau mereka mengorbankan kerusi masing-masing
untuk diinfakkan kepada Pejuang, Muda dan Warisan atau pun mana-mana
parti.
Apakah usaha DAP dan Amanah beriya mengajak parti itu berkumpul
dalam big tent satu aksi untuk meninggalkan Keadilan
bersendiri?
Tidak ada guna pun bertanding banyak kerusi kalau kalah, dan
adalah baik bahagi kerusi kepada semua asalkan menang.
Saya nampak dalam hal ini, pilihan raya Johor boleh dihadapi
oleh pembangkang dalam semangat kepembangkangan profesional dan
rasional. Kalau semua pihak sedia berkorban dan saling percaya mempercayai
antara satu sama lain, ia akan menatijahkan kemenangan.
Apakah Umno akan bersama Pas atau sebaliknya, itu bukan
persoalan dan urusan pembangkang. Yang perlu difikirkan pembangkang mantap,
tidak "beragun" (berlawan) sesama sendiri dan dapat uruskan pilihan
raya itu dengan sempurna dan bijaksana.
Pilihan raya Johor penting kepada semua baik PH, BN, PN atau Pas
kerana ia akan menjadi indikator untuk Piraum akan datang. Pirane Johor adalah
ujian semesta akhir buat semua parti politik untuk menentukan apakah mereka
layak untuk meneruskan "pengajian ke universiti" atau
kandas.
Jika itu dapat dilaksanakan, Umno yang yakin akan mengulangi
sejarah di Melaka itu tidak mudah menggapainya. Kesepaduan pembangkang dalam
pilihan itu pasti akan menyulitkan Umno untuk membangunkan tembok kubunya
yang roboh pada Piraum 14, yang dikesali dan ditangani dan didendami hingga
kini. [wm.kl.11:05 am 27/01/2022]