Jelas sekali, lebih banyak yang
harus dilakukan pada kadar segera
Selalunya Malaysia akan bersedia
untuk menghadapi musim banjir di kawasan Pantai Timur disebabkan oleh monsun
yang biasanya berlaku pada waktu ini setiap tahun.
Tetapi
apa yang tidak begitu dijangka pada kali ini ialah kejadian banjir besar yang
melanda Lembah Klang. Ia dikatakan berpunca daripada fenomena seperti tekanan
rendah tropika di rantau ini dan kesan-kesan taufan besar Rai yang melanda
Filipina.
Memang
benar kadar hujan yang turun di beberapa bahagian negara kali ini adalah luar
biasa, tetapi apa yang paling penting ialah kita harus bersedia untuk
menghadapi pelbagai peristiwa yang tidak dijangka seperti ini.
Malah ia
mungkin akan berlaku dengan lebih kerap lagi disebabkan oleh kesan-kesan
perubahan iklim.
Di
seluruh dunia, peristiwa cuaca melampau yang tidak dijangka ini sedang menjadi
lebih kerap, dan kebimbangan timbul tentang keperluan kita untuk memberi fokus
terhadap langkah-langkah adaptasi serta pembinaan daya ketahanan terhadap
perubahan iklim.
Turut
diperlukan ialah peningkatan usaha bersiap siaga kita untuk menghadapi bencana.
Kita
tidak boleh lagi menganggap kadar taburan hujan sebegini sebagai kejadian
terpencil saja. Sebaliknya, kita harus membuat perancangan untuk menghadapi
kejadian-kejadian seperti ini dan mengambil segala langkah yang diperlukan
untuk mengurangkan kesannya.
Support
the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:
·
Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly
newsletters or both
·
Make a one-off
donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
·
Schedule an auto donation to Aliran every month or every
quarter
Projek berskala besar terus berkembang
Malang
sekali kita sememangnya gagal untuk bertindak pantas selama ini walaupun
mempunyai perancangan semenjak Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) lagi bagi
mengurangkan risiko bencana melalui adaptasi perubahan iklim dan memperkukuhkan
pengurusan risiko bencana negara.
Baru-baru
ini negara kita memulakan Pelan Adaptasi Kebangsaan untuk memberikan panduan
berkenaan hal-hal perundangan, urus tadbir, perancangan dan penyelarasan
kaedah-kaedah adaptasi serta indeks adaptasi untuk mengukur tahap keterdedahan
negara terhadap kesan-kesan perubahan iklim.
Usaha
ini perlu diambil dengan kadar yang lebih segera lagi kerana kenyataan sebenar
telah pun menunjukkan bahawa negara kita ini masih belum bergerak ke arah yang
sepatutnya; dengan pelbagai projek dan rancangan pembangunan yang masih
berjalan seperti biasa.
Kita
masih belum merancang atau bersedia dengan secukupnya, malah belum bersedia
sama sekali untuk menangani kesan-kesan perubahan iklim yang sedang atau akan
berlaku pada masa hadapan.
Banyak persoalan timbul berkaitan dengan hal ini.
Adakah
penggubal dan perancang dasar negara kita di semua peringkat kerajaan
(termasuklah para arkitek dan jurutera) cukup arif berkenaan kesan perubahan
iklim semasa dan kesan-kesannya pada masa yang akan datang?
Adakah kita sedang merancang untuk menghadapi segala bentuk ancaman dan bencana yang bakal kita hadapi?
Promosi
projek infrastruktur berskala besar seperti pembinaan jalan raya, terowong,
penambakan laut dan pembangunan mega masih boleh dilihat di mana-mana.
Ia
dilakukan dengan hanya sedikit – atau malah tiada – kebimbangan langsung
terhadap risiko dan kesan-kesan perubahan iklim. Kelihatannya, tidak ada
sebarang pertimbangan wajar tentang sama ada projek-projek sedemikian rupa akan
menyumbang atau menjejaskan lagi daya tahan negara terhadap perubahan iklim.
Kita
harus membunyikan loceng amaran dengan lebih kuat lagi dan cuba untuk
menyesuaikan diri (jika boleh) kepada “norma baru” akibat kesan perubahan iklim
ini.
Usah bazirkan dana awam
Kita
juga harus bersedia untuk menghadapi keadaan yang menyaksikan langkah-langkah adaptasi
akan menjadi mustahil untuk dilaksanakan.
Masa
untuk melakukan pelaburan dalam segala perancangan dan langkah adaptasi
perubahan iklim dan dalam pembinaan daya ketahanan terhadap perubahan iklim
negara sudah lama kita lepasi.
Tindak
balas segera amat diperlukan sekarang dan kita juga harus belajar daripada apa
yang sedang dilakukan negara lain.
Terdapat
juga dana antarabangsa yang tersedia, seperti Dana Iklim Hijau UNFCCC yang
menyediakan sumber kewangan bagi membantu negara-negara seperti Malaysia untuk
menghadapi cabaran perubahan iklim.
Jelasnya,
kita memerlukan sebuah butang tetapat semula (reset) untuk perlindungan masa
hadapan dalam dunia yang iklimnya sudah berubah. Kita juga harus melihat semula
segala perkara yang kita lakukan dari lensa perubahan iklim.
Jika
tidak, kita akan membuat pelaburan yang salah yang tidak memiliki kelestarian
untuk jangka masa panjang dan hanya akan menjadi pembaziran besar sumber-sumber
awam.
Pelan
adaptasi segera yang merangkumi pendekatan berasaskan alam semula jadi
diperlukan untuk memastikan bangunan, prasarana dan kawasan pesisiran pantai
mempunyai daya ketahanan terhadap ribut, peningkatan kadar hujan, kebertahanan
banjir, kenaikan paras laut, dan sebagainya.
Langkah-langkah
pemuliharaan hutan dan tanah, termasuklah perlindungan kawasan tadahan air dan
sungai untuk mencegah dan mengurangkan kejadian banjir, menjadikan kawasan
bandar kepada sebagai ‘bandar-bandar span’ dan memperkukuhkan persisiran pantai
kita melalui perlindungan dan pemulihan hutan paya bakau adalah komponen yang
penting dalam rancangan tersebut.
Langkah-langkah
yang lebih menyeluruh juga diperlukan bagi menangani kemarau, gelombang haba,
kekurangan air, kesan-kesan ke atas pertanian, kesihatan, corak cuaca yang
tidak menentu dan bencana.
Jelas sekali, lebih banyak yang harus dilakukan pada kadar segera. Jika tidak, kita mungkin sama sekali tidak akan bersedia untuk menghadapi bencana yang akan datang.
Akibatnya tentulah amat buruk sekali, seperti yang telah kita lihat dari peristiwa banjir besar ini.
Meenakshi Raman ialah presiden Sahabat Alam Malaysia