Kenyataan Media
21 Disember 2021
Saya kesal dengan sikap dan cara negara ini dipimpin tatkala
rakyat berbilang kaum sedang dirundung malapetaka banjir setelah hujan lebat
berterusan selama beberapa hari pada hujung minggu yang lalu.
Setakat hari ini, 17 mangsa telah dilaporkan maut di Selangor
dan 8 mangsa di Pahang, manakala lebih 60,000 lagi kehilangan tempat tinggal
tanpa ada tanda-tanda jelas berhubung keadaan rumah dan tahap kelangsungan
hidup seusai banjir surut.
Kelemahan-kelemahan utama berhubung tahap kesiapsiagaan negara
dalam menghadapi bencana kini terpampang jelas.
Tindakan lembab dari kerajaan persekutuan terutamanya Agensi
Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ditambah pula dengan penyelerasan yang kucar
kacir dengan pihak kerajaan serta dengan agensi-agensi tempatan ternyata
merumitkan krisis ini kepada rakyat dan menjadikan ia satu malapetaka tadbir
urus juga.
Kelewatan dalam menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
telah memungkinkan beberapa pegawai untuk bertindak dengan inisiatif sendiri
dalam membantu warga yang terkesan.
Penyelerasan yang lemah antara pasukan sukarelawan dan angkatan
tentera hanya menambah kekeliruan dan kekecewaan.
Krisis ini adalah mimpi buruk yang nyata kepada Perdana Menteri
tatkala malapetaka tadbir urus ini melatari 100 hari pentadbirannya. Kegagalan
demi kegagalan dalam mengurus bencana ini hanya menonjolkan tahap keupayaan
sebenar kerajaan yang dikemudi beliau.
Kerajaan dan pimpinan yang gagal menonjolkan kebersamaan dengan
rakyat sedari awal bencana ini, tidak akan mampu memberi keyakinan kepada kita
semua bahawa mereka juga mampu melonjakkan negara ke arah pemulihan dari
musibah ini, termasuk masalah wabak yang masih mengganas.
Saya kagum dengan semangat kekeluargaan sebenar yang telah
ditonjolkan rakyat berbilang kaum tatkala pemimpin-pemimpin utama kerajaan
sibuk bermesyuarat.
Sewaktu saya turun mengagihkan bantuan kepada rakyat yang
terkandas, saya turut mendengar dan menyaksikan sendiri babak-babak yang luarbiasa
yang memaparkan sikap belas dan keprihatinan yang tinggi. Saya turut berkongsi
kekecewaan mereka berhubung kelemahan kerajaan dalam krisis ini.
Perubahan iklim dan tahap kesedaran kita yang lemah terhadap
peranan dan kepentingan alam sekitar akan menyaksikan peningkatan yang amat
dahsyat terutamanya dalam aspek keberlakuan bencana alam di masa hadapan. Kita
tidak mampu untuk memikir dan menyiasat apa yang menjadi punca kelemahan kita
hujung minggu yang lalu.
Perdana Menteri sekarang ini mesti ambil tindakan untuk segera
menubuhkan jawatankuasa diraja termasuk jawatankuasa Parlimen dalam
menambahbaik tahap kesiapsiagaan bencana. Dalam masa yang sama, kerajaan
dituntut untuk membantu rakyat mendapatkan semula rumah mereka yang dibadai
banjir dan tidak memandang remeh soal pemulihan sesudah banjir.
Kerajaan mesti punyai sikap ketelusan dan kebertanggungjawaban
yang tinggi kepada orang ramai dan mesti mengadakan sidang media harian bagi
mengemaskini situasi semasa banjir dan langkah menyelamat.
Saya juga ingin mendesak kerajaan persekutuan untuk membetulkan
ketempangan dalam Majlis Keselamatan Negeri Selangor di mana Menteri Besar
mesti dikembalikan kuasa dan peranannya dalam mengemudi krisis ini.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah atas pelbagai inisiatif dan
peruntukan bantuan RM100 juta yang telah digerakkan Kerajaan Negeri Selangor
kepada mangsa-mangsa banjir.
ANWAR IBRAHIM