16 Ketua Cabang PKR desak Christina Liew diganti
KOTA KINABALU: Kepimpinan cabang PKR Sabah mendesak Presidennya, Anwar Ibrahim, menggantikan Ketua PKR Sabah Christina Liew.
Ketua Cabang Keningau Sangkar Rasam, yang mewakili 16 kepimpinan cabang negeri itu menegaskan, PKR Sabah akan kembali kukuh berdepan pilihan raya umum akan datang, jika kepimpinan baharu dilantik.
Katanya, mereka sudah memaklumkan pendirian itu dan sedang menunggu keputusan Anwar berhubung perkara berkenaan.
Dalam pada itu, Liew cuba meredakan tindakan 16 Ketua Cabang berkenaan, dengan berkata,”Saya serahkan kepada presiden, itu adalah bidang kuasanya.”
Enam belas Ketua Cabang yang dipercayai menyokong tindakan itu membabitkan Sazalye Donol (Kota Marudu), Simsudin Sidek (Labuan), Dausil Kundayong (Tuaran), Franti Kuntau (Papar), Wendey Agung Baruh (Sipitang), Peter Sumping (Ranau), Raymond Ahuar (Pensiangan) dan Matusin Apang (Batu Sapi).
Selain itu, Ketua Cabang lain adalah Sahrudin Harol (Sandakan), Romansa Lamin (Silam), Sahrul Zakaria (Kalabakan), Barani Ampise (Tenom), Roslan Hussin (Kimanis), Abdul Gani Zebika (Tawau) dan Rasam (Keningau).
Liew berkata, beliau terlalu sibuk mempromosikan parti untuk dirinya bimbang berkenaan desakan seperti itu.
“Saya akan lebih bimbang sekiranya tidak dapat mempromosikan parti. Saya tidak mahu apa yang berlaku di Sarawak berulang,” merujuk kepada kekalahan besar PKR pada pilihan raya negeri Sarawak, semalam.
“Selepas pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak, reaksi segera bagi PKR adalah menang lebih banyak kerusi (di Sabah). Itu menjadi pertimbangan dan keutamaan saya,” katanya.