Undian peringkat dasar
Belanjawan 2022 dilakukan secara undian suara pada petang ini kerana Pakatan
Harapan (PH) masih tidak bersetuju dengan Kerajaan Persekutuan dalam beberapa
perkara penting.
Menurut Majlis Presiden PH,
biar pun telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak Kerajaan
melalui Jawatankuasa Libat Urus Belanjawan dan terdapat perkara dipersetujui
namun terdapat juga perkara-perkara yang tidak dapat dipersetujui.
"Oleh demikian, di
peringkat dasar Belanjawan 2022 ini, memandangkan kita tidak bersetuju dalam
beberapa perkara, maka PH membuat keputusan untuk mengundi secara undi suara.
"Bagi proses kelulusan
Belanjawan 2022 di peringkat jawatankuasa yang bermula Isnin, 22 November ini,
PH akan terus memainkan peranan untuk meneliti, menyemak imbang serta
memperjuangkan hak seluruh rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama, jantina
mahupun wilayah," kata kenyataan Majlis Presiden.
Tegas Majlis Presiden lagi, PH
tidak boleh menerima peruntukan yang tidak bertambah secara signifikan bagi
Sabah dan Sarawakyang masih mundur dan memerlukan pembangunan lebih pesat.
Begitu juga, peruntukan untuk
ransangan ekonomi ke atas rakyat kelas bawahan yang masih dilihat berkurangan
berbanding keperluan.
"PH menekankan keperluan
untuk meningkatkan peruntukan bagi Sabah, Sarawak dan semua rakyat Malaysia
yang berdepan dengan pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi. Belanjawan
seharusnya mewakili dan menjaga semua rakyat Malaysia berdasarkan keperluan
tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
"Walaupun ada tambahan
peruntukan, ia masih tidak mencukupi untuk memastikan Belanjawan yang adil
untuk semua tidak kira kaum, agama, jantina mahupun wilayah.
"Walaupun PH menghargai
keperluan untuk mengawal defisit Belanjawan, terdapat keperluan untuk
berbelanja dengan berani untuk mengatasi pandemik Covid-19 serta membantu
rakyat dan perniagaan, terutamanya PKS, supaya dapat terus hidup.
"Peruntukan Belanjawan
tambahan di samping Belanjawan 2022 berjumlah RM332 bilion secara berhemat
tidak akan menjejaskan tahap hutang atau defisit dengan banyak tetapi mungkin
kritikal dalam menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat," kata mereka.
Oleh itu, jelas Majlis
Presiden, PH memutuskan akan meneruskan perbincangan dengan Kerajaan berhubung
Belanjawan 2022 demi keadilan untuk rakyat.
"Sebarang keputusan
berhubung kelulusan Belanjawan 2022 di peringkat jawatankuasa akan ditentukan
kemudian," kata mereka lagi.
Undian petang ini merupakan
pusingan pertama, selepas ini akan ada perbahasan peringkat jawatankuasa dan
kemudian pengundian peringkat terakhir.
Dalam sesi pengundian petang
tadi Warisan dan Pejuang cuba untuk mendapatkan undian belah bahagi namun tidak
dipersetujui PH dan berakhir dengan undian suara dan Belanjawan 2022
diluluskan.