MELAKA: Kedudukan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya
Negeri (PRN) Melaka goyang apabila 500 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu) di empat pusat daerah mengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)
Pengkalan Batu di sini mengisytiharkan keluar parti serta-merta.
Mereka terdiri daripada ahli-ahli di PDM Pasir Puteh, Taman Rumpun
Bahagia, Peringgit dan Kampung Pengkalan Batu.
Menurut wakil kumpulan itu, Huslan Naim yang juga Timbalan Ketua
Cawangan Bersatu Pasir Puteh, pihaknya telah hilang kepercayaan kepada
kepemimpinan negeri dan Bahagian Hang Tuah Jaya yang tidak pernah ambil peduli
dan soal kebajikan akar umbi.
Malah katanya lagi, akar umbi tidak puas dengan calon pilihan raya
kerana gagal mengetengahkan anak tempatan Pengkalan Batu.
“Silap pilih kasih ini menyebabkan kami tidak tidak puas dengan
kepimpinan Bersatu termasuk Ketua Bahagian, Mohdz Azrudin Md. Idris yang
merupakan calon PN DUN Pengkalan Batu.
“Oleh itu kami 500 ahli mengisytiharkan keluar Bersatu berkuat
kuasa serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Justeru itu, Huslan
berkata, kesemua ahli Bersatu terlibat tidak sesekali menyokong dan mengundi
Mohd. Azrudin selaku calon PN dalam PRN Melaka.
“Kami kecewa kerana
beliau tidak pernah memanggil kami untuk terlibat dalam gerak kerja pilihan
raya.
“Namun ia tidak bermakna
kami akan menyokong Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) atau
mana-mana calon lain,” jelasnya.
Beliau berkata, tindakan
ini mengambarkan kepincangan dan kegagalan Bersatu menjelang pilihan raya
negeri pada Sabtu ini. – UTUSAN