ULASAN
LIMA hari sahaja lagi akan berlangsung penamaan calon bagi
pilihan raya negeri (Pirane) Melaka, 8 November, manakala 20 November hari
mengundi. Pirane itu merupakan pilihan raya Melaka yang ke-15. Ia diadakan
ekoran DUN Melaka dibubarkan apabila kerajaan negeri dipimpin BN yang dicuri
daripada PH tumbang setelah empat Adun menarik sokongan.
Beberapa hari sebelum ini sebaik Dun Melaka diisytiharkan
terbubar, parti-parti politik utama sibuk membuat persiapan dan mencatur untuk
menghadapi pilihan raya berkenaan. Walaupun pembubaran itu dicabar kerana
keabsahannya dipertikaikan, tampaknya ia berbekas dan sudah pasti pilihan raya
akan dilangsungkan.
Umumnya ada tiga kelompok atau komponen terbesar yang sibuk dan akan pasti
mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut. PH, BN dan PN. PH
sudah pasti ghairah untuk menghadapi pilihan raya itu kerana sebab-sebab khusus
yang dirasakan mencabarnya.
Dendam marah PH kerana kerajaan mereka yang dibentuk selepas
Piraum ke-14 dirampas oleh UBN berikutan tumbangnya kerajaan PH di peringkat
persekutuan. Peristiwa itu meninggalkan kesan marah kepada PH menyebabkan
mereka berkobar-kobar untuk menghadapi Pirane itu.
Rasa marah itu ditambah lagi apabila PH gagal untuk merampas
balik kerajaan UBN-Bersatu itu walaupun sudah mendapat sokongan dari 4 Adun
termasuk dua daripada Umno dan seorang daripada bekas DAP dan Bersatu.
Malangnya walaupun PH cukup sokongan, tetapi Yang diPertuan Melaka Mohd. Ali Rustam
bertindak membubarkan DUN Melaka atas nasihat Sulaiman Md Ali sebagai Ketua
Menteri.
UBN pula tentu lebih berdebar-debar dan cemas untuk menghadapi
pilihan raya berkenaan. Mereka tentu rasa ralat dan cemas kerana baharu
kehilangan kerajaan. Kejadian itu memberi kesan dan phobia kepada komponen itu
yang kini dilihat terdesak dengan pelbagai masalah. Apa lagi parti yang mereka
ajak untuk bersama dan sudah pun berjanji untuk bersekutu, iaitu Pas
memungkir janji.
Pas yang sebelum ini menyatakan kerjasama dengan Umno kononya
atas dasar perpaduan ummah, demi untuk maslahat agama dan bangsa tidak bersama
dengan Umno bagi menghadapi pilihan raya itu sebaliknya memilih Bersatu yang
mereka wujudkan Perikatan Nasional (PN).
Pas dalam kenyataan dikeluarkan oleh presidennya Abdul Hadi
Awang menegaskan yang parti itu akan bertanding menggunakan simbol PN bukan
Dacing (BN) dalam Pirane itu nanti. Kenyataan itu menamatkan satu episod yang
ditunggu-tunggu kesudahannya.
Kenyataan itu menjadikan UBN kecewa dan tambah mengusarkan untuk menghadapi
pilihan raya Melaka itu. Angan-angan Umno untuk menumpang Pas bagi menpadat
sokongan Melayu berkecai kerana atas tindakan "ikan keli dalam besen"
parti agama itu.
Sebenarnya bagi pemerhati politik yang mengenali Pas tidak pelik
dan rasa aneh dengan tindakan Pas itu, mengapa mereka lebih mempercayai Bersatu
daripada Umno. Pas khususnya presidennya seorang yang tidak istiqamah dalam
membuat sesuatu keputusan walaupun ujarnya parti itu tetap istiqamah dengan
dasar Islamnya?
Buat sementara perhitungan dan rancangan Umno untuk bersama Pas sudah boleh
dianggap selesai. Khalaf, melainkan ada usaha secara senyap untuk menyakinkan
Bersatu agar berkolaborasi dengan BN bagi memastikan Melaka tidak terlepas
kepada PH. Masih belum mustahil jika Umno dan Bersatu ada kesedaran dan melihat
PH bahaya mereka boleh "kerabat" semula. Pas akan ikut sahaja apa
diputuskan Bersatu, macam si buta yang mengikut penariknya.
Seandainya dengan pendirian Pas itu menjadikan Bersatu bersedia
untuk tidak mendengar pujukkan Umno, maka sudah pasti ketiga-tiga parti itu
akan berlawan sesama sendiri, PN (Bersatu dan Pas) satu pihak manakala BN
(Umno, MiC dan Mca) satu pihak. Ini memberi gambaran akan berlaku pertandingan
tiga penjuru dalam pilihan raya itu, BN, PN dan PH.
Seandainya berlaku pertandingan tiga penjuru yang dilihat
mempunyai potensi besar untuk menguasi Dun Melaka antara BN dan PH. Sementara
PN sangat tipis memandangkan kedua parti membentuk komponen itu tidak meluas di
Melaka. Melaka bukan seperti Kelantan atau Terengganu untuk Pas, sementara
Bersatu pula sebagai serpihan baru kepada Umno tidak sekuat Amanah yang juga
serpihan daripada Pas.
Berbeza dengan PH waktu ini. Dalam BN dan PN bermasalah mencari
titik temu dan formula untuk bersama, mereka sudah pun kemas sepakat untuk
menghadapi pilihan raya berkenaan. Pembahagian kerusi antara tiga parti sudah
pun selesai. Keadilan akan bertanding di 11 kerusi sementara
DAP 8 dan Amanah 9 kerusi.
Kalaupun sedikit bermasalah berhubung kedudukan empat Adun yang
menarik sokongan yang dikatakan akan bersama PH dan ikut diletakan sebagai
calon. Cadangan itu dibantah menyebabkan ia menimbulkan sedikit masalah.
Bagaimana pun perkembangan terakhir memberi gambaran tidak semua daripada empat
Adun itu akan diterima bertanding dibawah payung PH.
Hanya dua sahaja diberitakan akan diberi laluan dengan
bertanding dibawah lambang PH. Kedua mereka daripada Umno, bekas ketua menteri
Idris Haron (Sg Udang) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor). Idris mungkin
menyertai PH bersama Amanah manakala Noor Azman bersama Keadilan.
Ada pihak yang membantah dengan tindakan itu. Seorang pemimpin
Keadilan yang tidak aktif menyalahkan penerimaan kepada Adun yang lompat itu
kepada Mohamad Sabu atau khasnya Amanah. DAP juga menyatakan bantahan mereka
daripada menerima Adun berkenaan. Bagaimana pun akhirnya DAP akhirnya
menyerahkan kepada kebijaksanaan dan Amanah dan Keadilan untuk menerima
kedua-dua bekas Adun itu.
Berbalik kepada perkembangan BN dan PN, apabila Pas sudah
memutuskan untuk bersama PN, Umno tampaknya tidak dapat tidak akan bertanding
di semua 28 kerusi seperti mana disebut presidennya sebelum ini. Langkah Pas
memilih Bersatu memaksa BN bertanding disemua kerusi.
Umno dikatakan hasrat untuk bertanding disemua kerusi majoriti
Melayu sebanyak 21 kerusi. Tetapi dengan langkah terbaru Pas itu menyebabkan
Umno akan bertanding di semua kerusi, kecuali dua yang akan diserahkan kepada
MiC dan McA.
Dua hari lepas terdengar kononnya persetujuan antara Umno,
Bersatu dan Pas telah dicapai untuk sepakat dalam pilihan raya itu. Pembahagian
kerusi telah dibuat dimana Umno bertanding di 23 kerusi sementara selebihnya
dibahagikan antara Bersatu dengan Pas. Masing-masing parti bertanding atas
lambang sendiri. Tetapi persetujuan itu ditolak apabila Bersatu membuat
perhitungan baru.
Bagaimana pun senario yang tergambar kini masih belum muktamad
secara tuntas. Apa yang disebutkan itu berlaku sekiranya kenyataan terbaru
Abdul Hadi itu kekal dan tidak goyah. Namun perlu berwaspada dan berhati-hati
khasnya kepada PH, apa yang disuarakan Abdul Hadi ataupun pihak BN dan PH ia
boleh berubah keadaan dan semuanya akan dapat disahkan selepas hari pernamaan
calon.
Boleh jadi parti-parti politik yang bertanding itu tidak
menunjukkan semangat kebersamaan bagi menghadapi antara satu sama lain, tetapi
ia boleh berubah selepas selesai penamaan calon dan setelah kempen berjalan
beberapa hari ini.
Sesuatu yang mengejutkan boleh berlaku, tiba-tiba sahaja ada
yang menarik diri kemudian menyatakan sokongan kepada pihak-pihak tertentu. Dan
boleh jadi juga pelan dikemukakan Umno yang dikatakan telah dipersetujukan itu
dihidup kembali.
Politik sesuatu yang tidak dapat dijangkakan. [wm.kl.12:30
pm 02/11/2021]