By
-
8 November 2021
Anggota
polis yang mengawal disekitar laluan masuk ke pusat penamaan calon pada hari
penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka DUN Pengkalan Batu N.15
di Dewan Mini Stadium Bistari, Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2021.
KUALA LUMPUR – DAP menegaskan pendirian untuk tidak berkempen
untuk dua “katak politik” yang telah menyertai Pakatan Harapan (PH) dan
bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Melaka.
Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai berkata, partinya sesekali
tidak akan berkempen untuk calon PKR di Asahan, Datuk Seri Idris Haron dan
calon Amanah di Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
Katanya, DAP sudah menyatakan pendirian yang jelas untuk menolak
“katak politik” walaupun rakan sekutu mencalonkan dua pemimpin itu untuk
bertanding menggunakan lambang PH.
“Oleh itu, kami tidak pergi apabila calon diumumkan,” katanya
dipetik Kwong Wah Yit Poh selepas menghadiri satu program di Pudu, ibu negara
pada Ahad.
Ditanya mengenai kenyataan MUDA yang turut mengecam PH kerana
bekerjasama dengan “katak politik” , Kok Wai berkata beliau bersetuju dengan
kenyataan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Oleh itu, DAP tidak akan berkempen untuk mereka dalam pilihan
raya di negeri Melaka.
“Walau bagaimanapun, kami tetap akan berkempen untuk calon PH
lain di Melaka,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Cheras.
Kok Wai pada masa yang sama membidas Pengarah Komunikasi Amanah,
Khalid Abdul Samad yang mempertahankan Idris dan Nor Azman sebagai “katak
berprinsip”.
“Katak itu katak dan tidak dibezakan katak yang berprinsip
dengan katak yang tidak berprinsip,” katanya.
Sementara itu di Melaka, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang
dilaporkan Sinchew Daily sebagai enggan mengulas tentang isu “katak” yang
bertanding menggunakan lambang PH.
“Saya tidak akan menjawab mengenai isu katak kerana saya bukan
lagi dalam barisan kepimpinan parti,” katanya.
Kit Siang juga enggan memberi komen apabila ditanya sama ada DAP
akan berkempen untuk Idris dan Nor Azman. – MalaysiaGazette