Adakah Sulaiman atau Rauf? Rafiq atau Ermieyati?


Siapa yang akan memimpin kerajaan negeri Melaka yang baharu? Pakar strategi DAP membuat spekulasi siapa Umno dan PN bakal pilih. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dengan Pakatan Harapan (PH) yang masih berbelah bahagi antara dua pesaing sebagai calon berpotensi menjadi Ketua Menteri Melaka, seorang pakar strategi DAP menumpukan perhatian kepada kemungkinan pilihan gabungan politik lawan mereka.

Ketua Biro Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong mencadangkan debat secara langsung antara calon Ketua Menteri yang berpotensi dan beliau berkata, Adly Zahari daripada Amanah boleh mewakili PH.

Nama Adly diutarakan semalam oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menggesa pimpinan pakatan itu menamakan Adly sebagai pilihan PH. Seorang pemimpin Amanah berkata, nama itu boleh diumumkan dalam tempoh beberapa hari selepas penamaan calon esok.

Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno dan Perikatan Nasional (PN) masih berdiam diri mengenai siapa yang akan memimpin sekiranya mereka memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov.

“Untuk gabungan-gabungan lain, saya tidak pasti sama ada Sulaiman Md Ali atau Rauf Yusoh yang akan menjadi pilihan Umno untuk menjadi Ketua Menteri.

“Saya juga tidak jelas siapa calon Ketua Menteri daripada Perikatan Nasional, sama ada Rafiq Naizamohideen atau Mas Ermieyati Samsudin”, kata Liew di Facebook semalam.

Sulaiman yang juga bekas Ketua Menteri bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dan Rauf, bekas Speaker DUN di Tanjung Bidara, di mana beliau akan berdepan dengan Mas Ermieyati daripada Bersatu, sementara Rafiq akan bertanding di Telok Mas.

Liew berkata, larangan kempen pilihan raya dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuatkan parti politik sukar bertemu dengan para pengundi.

Beliau mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyelaras dan menganjurkan debat secara langsung antara calon-calon Ketua Menteri Melaka daripada PH, BN dan Perikatan Nasional (PN), tanpa melibatkan penonton.

Katanya, SPR boleh mengambil teladan daripada debat secara langsung di antara Lim Guan Eng dan Wee Ka Siong baru-baru ini yang membolehkan rakyat membuat penilaian sendiri selepas mendengar hujah-hujah mereka.

BN, PN dan PH bertanding di semua 28 kerusi DUN Melaka.

Penamaan calon akan berlangsung hari ini dan proses membuang undi akan diadakan pada 20 Nov.

No comments: