SAH MN KINI BERKUBUR, PAS TERBUKTI LEBIH CINTAKAN BERSATU BERBANDING UMNO

 

Tanpa pengumuman kematian, tanpa talkin dan tanpa diketahui di mana kuburnya, Muafakat Nasional yang terbentuk melalui kerjasama UMNO dengan Pas kini sah terkubur akhirnya.

Ia berikutan ketetapan Pas, bukan saja untuk kekal bersama Perikatan Nasional atau PN yang dipimpin oleh Mahiaddin Md Yasin, malah secara rasmi meluluskan persetujuan secara rasmi menggunakan lambang PN dalam PRN Melaka.

Dengan setuju menggunakan lambang PN ini juga bermakna Pas menolak secara total pelawaan UMNO untuk bekerjasama dengannya.

Pas ternyata lebih cintakan Bersatu berbanding UMNO.

Maka dengan ini, sia-sialah keputusan MT UMNO minggu lalu yang ingin meneruskan kerjasama dengan Pas serta berharap parti itu menggunakan logonya sendiri dalam PRN Melaka.

Sia-sia jugalah MT UMNO memberi mandat kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk berunding dengan parti-parti dalam kerajaan, maksudnya tentulah dengan Bersatu dan Pas, bagi tujuan mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru.

Malah, Ismail Sabri telah gagal sebelum pun memulakan tugasnya mengadakan rundingan itu.

Bersama persetujuan Pas menggunakan lambang PN ini, tanpa keraguan ini bahawa PRN Melaka akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru sekurang-kurangnya – BN, PN dan PH – dan mungkin lebih jika ada calon Bebas turut sama menyertai persaingan.

Hampir pasti, persetujuan Pas menggunakan lambang PN ini akan berlaku juga dalam PRU15 nanti.

Maka dengan keputusan Pas ini, tiada guna lagi UMNO terus menaruh apa-apa harapan kepada parti itu.

Pas bukan saja lebih cintakan Bersatu, malah tidak sudi sama sekali bersama dengan UMNO.

Kecintaan Pas kepada Bersatu jelas diperlihatkan dengan pendiriannya yang lagi kuat UMNO menolak Bersatu, makin kuat pula Pas menyayangi Bersatu.

UMNO kini tiada pilihan lagi selain bertanding solo dan belajarlah melupakan segala kenangan manis bersama Pas selama ini.

Lebih penting, haruslah juga UMNO bersedia diserang dan dikecam, termasuk kemungkinan “dikafirkan” semua oleh Pas bermula di PRN Melaka nanti. –


 ShahbudinHusin 02/11/2021.