By Muhammad Azizul Osman - 1 November 2021
KUALA LUMPUR – Menjelang proses penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 8 November depan, Pakatan Harapan (PH) didakwa sudah hampir memuktamadkan isu mengenai status dua daripada empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu.
Jelas Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim gabungan itu telah mengadakan perbincangan yang panas dan panjang mengenai kedudukan dua bekas ADUN tersebut.
“Tentang 4 ADUN dan sekarang hampir dimuktamadkan iaitu ada 2 ADUN yang asalnya dari UMNO status mereka sama ada boleh terima atau tidak, ada juga perbincangan yang panas yang panjang, untuk memuktamadkan keputusan.
“Pandangan kita adalah kategori untuk mengatakan walaupun dipertikai saya tahu jawapan semalam saya pergi sedikit penjelasan dan ada pertikai, tak ada masalah tetapi suadara kena faham bahawa perubahan ini hanya harus berlaku bukan dengan sikap keras kita, ia berlaku dengan hemah kita, kebijaksanaan kita, untuk tarik hubungan pada semua pihak,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran jentera PH PRN Melaka, sebentar tadi.
Untuk rekod, dua bekas ADUN UMNO yang menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali pada awal Oktober lalu adalah bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
Tambah Anwar, PH harus ingat bahawa gabungan itu ada mengadakan rundingan dengan keempat-empat bekas ADUN tersebut sehingga mereka bertindak menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri yang kerajaan negeri tumbang.
“Rundingan itu menyebabkan mereka memilih untuk menarik sokongan terhadap kerajaan dengan sefahaman bahawa mereka tidak dikhianati dan ditinggalkan selepas itu.
“Kita bukan jenis manusia bila menang berjaya tabik hormat, bila tidak berjaya kita lakukan pada begitu pada mereka.
“Keputusan kita tertakluk apa dia dalam proses perbincangan dengan mereka apa persetujuan apa jaminan ada semangat kesepakatan itu ambil kira sebelum muktamadkan,” katanya lagi.
Minggu lalu, Anwar berkata, PH masih belum mencapai kata sepakat mengenai kedudukan empat bekas ADUN Melaka untuk bertanding atas tiket gabungan pakatan itu pada PRN Melaka.
Katanya perbincangan mengenai kedudukan Idris, Nor Azman dan dua lagi bekas ADUN iaitu Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Datuk Noor Effandi Ahmad masih diteruskan.
Minggu lalu, mesyuarat Majlis Presiden PH diadakan bagi membincangkan mengenai PRN Melaka termasuk hasrat empat ADUN berkenaan yang dikatakan mahu bertanding atas tiket PH.
Hasrat mereka sebelum ini bagaimanapun ditolak DAP yang tidak mahu menerima Norhizam berikutan bertindak menyokong gabungan politik baharu di Melaka sehingga menyebabkan PH tumbang di negeri itu.