Apa guna belanjawan paling besar jika kebocoran berlarutan?

 


Persoalan utama mengenai belanjawan terbesar negara (RM332.1 bilion) ialah kenapa kerajaan Keluarga Malaysia umum belanja begitu tinggi walaupun tahu pendapatannya jauh daripada mencukupi.

Anggaran kutipan pendapatan cuma RM234 billion, tetapi nak belanja hampir RM100 bilion lebih daripada jumlah itu. Dalam erti kata yang lain, wang dalam dompet cuma RM234 tetapi mahu belanja RM332. Jadi terpaksa berhutang sebanyak RM98.

Begitu juga dengan Bajet 2022; perlu berhutang lagi sebanyak RM98 billion untuk membiayai semua projek dan program yang diumumkan. Itu belum kira hutang beratus bilion ringgit yang sedia ada dan perlu ditanggung.

Justeru, adakah belanjawan sebegini masuk akal?

Belanjawan defisit

Ini kali ke-22 Malaysia membentangkan belanjawan defisit, perbelanjaan melebihi kutipan tahunan. Semenjak 1998 lagi, Malaysia berbelanja melebihi hasil kutipan tahunan.

Ini amatlah tidak meyakinkan kerana hutang negara akan terus memuncak dengan tiada cara yang dibentangkan untuk membayar semula hutang-hutang tersebut.Persoalan dari sudut ekonomi pula ialah, kenapa negara mesti terus berbelanja sedangkan pendapatan yang diunjurkan tidak seberapa, cuma RM234 bilion sahaja. Kenapa tidak adakan belanjawan yang selaras dengan pendapatan?

Jumlah hutang negara semasa telah sampai ke kemuncak yang paling tinggi, mencapai hampir 63.3% peratus dari KDNK. Tetapi strategi kewangan untuk menambah pendapatan tahunan tidak begitu jelas atau kurang memuaskan.

Kerajaan hari ini lagaknya seperti tergesa-gesa untuk terus berbelanja. Apakah mereka terdorong untuk benar-benar membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik?

Atau apakah kerana dorongan politik semata? Apakah belanjawan ini bertujuan memenangi minda dan hati kaum tertentu supaya memilih pemerintah pada PRU yang hampir tiba?

Dorongan berbaur politik sebegini tidak harus berlaku apabila menggubal belanjawan dan menguruskan pentadbiran negara.

Semua kaum dicukai

Cukai yang dikutip setiap tahun adalah hasil kutipan dari semua kaum termasuk di Sabah dan Sarawak.

Begitu juga dengan kutipan hasil bumi negara yang dikutip dari penjualan minyak mentah di wilayah Sabah, Sarawak dan negeri Terengganu.

Hasilnya adalah untuk dinikmati oleh semua kaum di seluruh negara. Jadi apabila belanjawan digubal, ia bukan untuk hanya sesuatu kaum, agama, atau parti politik semata-mata.

Jumlah cukai untuk 2022 hanyalah RM171.374 billion tetapi perbelanjaan operasi ialah sebanyak RM233.5 billion.

Sampai bila negara mesti berbelanja wang yang tidak dimilikinya? Jelasnya negara berhutang lagi untuk menampung perbelanjaan yang berlebihan dan membuka ruang kepada pembaziran dan pemborosan.

Ia semata-mata untuk menanggung beban berikut:

Apa yang terkandung di bawah kategori ‘Lain-lain’ sebanyak RM81.257 bilion tidak dinyatakan dengan jelas. Mungkin untuk membayar hutang, faedah, tanggungan 1MDB, dan berbagai lagi.

Jadi negara berhutang untuk membayar hutang?

Persoalan lain yang timbul dari angka-angka belanjawan ini membuat kita tertanya-tanya:

  • RM40 billion diberi untuk program Semarak Niaga Keluarga Malaysia?
  • Gaji perkhidmatan awam yang terlalu ramai jumlahnya dan ditambah dengan peruntukan khas.
  • Agensi agama seperti Jakim diperuntukkan dengan wang sejumlah RM1.5 bilion, melebihi belanjawan untuk sesuatu negeri?
  • RM30 bilion disenaraikan untuk tanggungan pelaburan yang tidak jelas tentang penglibatan agensi kerajaan.
  • Kerajaan akan mengeluarkan Sukuk Kelestarian sebanyak RM10 bilion untuk projek-projek sosial dan alam sekitar.
  • Cuma RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan yang mana wangnya masih tiada dan perlu dipinjam.

Kebocoran memanjang

RM620 juta kebocoran seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara tidak dibahas di Parlimen dengan bagaimana cara untuk mengatasi masalah tersebut.

Rumah Keluarga Malaysia yang atapnya sedang tiris atau bocor mesti dibaiki. Atau cari siapa yang bertanggungjawab ‘menebuk atap’ rumah tersebut.

Kita semua tahu siapa yang bertukang, siapa yang menebuk, dan siapa yang masuk mencuri melalui lubang atap Rumah Keluarga Malaysia ini, sehingga berlaku banyak kebocoran dan ketirisan.

Kebocoran dan ketirisan perlu dibaiki, ditangani, atau dihentikan dengan segera…kalau tidak rumah akan terus rosak dan dimasuki pencuri lagi.

Sekiranya Ketua Eksekutif Rumah Keluarga Malaysia tidak mengambil tindakan segera, lebih banyak wang yang diperuntukkan untuk membaiki, membeli peralatan baharu akan hilang dan dicuri lagi.

Pengalaman lalu membuktikan peruntukan belanjawan yang untuk pembelian barangan atau perbelanjaan untuk rakyat yang memerlukan bantuan, kerap diseleweng dengan licik dan secara berterusan.

Terlalu banyak agensi dan jabatan yang terlibat sehinggakan Kementerian Kewangan sendiri akan ‘kehilangan ingatan’ dan cara untuk memantau perbelanjaan yang diluluskan itu.

Beberapa tahun dari sekarang Ketua Audit Negara akan melaporkan perkara yang sama, tentang kebocoran dan perbelanjaan yang hilang dan tidak dapat diaudit dengan jaya.

Oleh kerana itu, rumah yang dinamakan Keluarga Malaysia ini mempunyai masalah besar selagi segala jenis kebocoran tidak diperbaiki.

Kenapa penghuni rumah, iaitu rakyat, mesti memberi kepercayaan kepada kumpulan yang dikatakan mencuri wang negara? Ini paling tidak rasional.

Mereka yang mencuri mesti dihukum, dipenjara terlebih dahulu, tidak kira sama ada mereka itu dari kalangan bangsawan, kaum serumpun, atau dari golongan yang berpengaruh suatu masa dulu.

Begitu juga dengan kumpulan yang menunggang agama untuk meraih sokongan. Demi politik wang, mereka dikatakan melindungi pencuri dan penyamun.

Mereka ini juga mesti ditolak dari menjadi sebahagian dari kumpulan yang memerintah. Apakah mereka ini semua tiada akal dan buta, tidak dapat melihat kebocoran yang berlaku?

Ada kalangan mereka juga pernah terlibat dalam menebuk atap rumah supaya pencuri dapat masuk dengan senang untuk mencuri dan menggunakan tebukan yang sama sebagai jalan keluar.